Seni Halus Batik Malaysia
Fesyen

Seni Halus Batik Malaysia: Seni, Warisan, dan Budaya

Perdana Menteri Malaysia ke-9, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob telah mengisytiharkan bahawa 3 Disember sebagai Hari Batik Malaysia yang akan disambut pada setiap tahun. Seni halus batik Malaysia telah menjadi pilihan pemakaian bagi penjawat awam pada setiap hari Khamis. Anda boleh baca lebih lanjut mengenai Hari Batik Malaysia di link ini.

Batik Malaysia merupakan seni kraf tangan tradisional yang terkenal di Malaysia. Teknik yang biasa digunakan untuk menghasilkan batik ialah teknik percetakan atau juga dikenali sebagai mencanting batik.

Asal Usul Batik Malaysia

Perkataan ‘batik’ dipercayai berasal daripada perkataan ‘ambatik’ yang bermaksud kain dengan titik-titik kecil. Akhiran ‘tik’ pada perkataan batik bermaksud titik kecil, titisan, atau membuat titik. Menurut laman web Wonderful Malaysia, perkataan ‘batik’ juga dipercayai berasal daripada perkataan Jawa, iaitu ‘tritik’ yang menggambarkan proses menghasilkan batik.

Menurut Warisan Batik, seni halus batik Malaysia dihasilkan dengan dua cara, iaitu blok tangan dan mencanting. Cara menggunakan blok tangan perlulah melekatkan corak atau motif tertentu pada blok dan dicetak di atas kain. Manakala, teknik mencanting batik pula dilakukan dengan mencelup atau menerap lilin cair yang dicampuri warna. Teknik mencanting ini lebih lama prosesnya dan biasanya ia dijual dengan harga yang mahal.

Seni Halus Batik Malaysia
Peralatan yang digunakan untuk menghasilkan corak dan motif pada batik.

Bukti awal kemunculan batik dijumpai di Timur Tengah, Mesir, Jepun, Eropah, India, China, dan Asia Tengah sejak 2,000 tahun lalu. Pada tahun 1770-an, sejenis batik yang dikenali sebagai Batik Pelangi telah diperkenalkan di alam Melayu.

Batik Malaysia boleh didapati di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor. Kebanyakan perusahaan batik terdapat di Kelantan dan Terengganu.

Kebiasaannya, seni halus batik Malaysia mempunyai corak dan motif yang unik seperti Motif Geometrik dan Motif Organik.

Jenis Corak dan Motif Batik Malaysia

Segala maklumat berkaitan dengan jenis corak dan motif batik ini, Sis Min dapatkan daripada laman web My Pride Jabatan Penjara Malaysia.

Jenis Corak

Corak yang dimaksudkan adalah corak pada kain batik. Motif akan dipilih dan dicorakkan di atas kain batik. Antara jenis corak yang digunakan pada batik Malaysia adalah seperti berikut:

  • Corak Berdiri
  • Corak Lajur
  • Corak Melintang
  • Corak Menyeluruh
  • Corak Menyerong
  • Corak Tompok-tompok
  • Corak Ulangan Batu-bata
  • Corak Selang-seli

Jenis Motif

Motif merupakan corak hiasan yang digunakan dalam proses melukis atau menerap batik. Jenis motif yang digunakan ialah Motif Geometrik dan Organik. Antara motifnya ialah:

Motif Geometrik | Seni Halus Batik Malaysia

  • Motif Pucuk Rebung
  • Motif Bunga Kotak Bercampur

Motif Organik

Motif Organik ini mempunyai unsur semula jadi seperti tumbuh-tumbuhan dan bunga-bungaan. Berikut merupakan motif tersebut:

  • Motif Ayam
  • Motif Bunga Buluh
  • Motif Daun Sirih
  • Motif Bunga Raya
  • Motif Rama-rama

Anda boleh baca di sini untuk mengetahui lebih lanjut jenis motif seni halus batik Malaysia.

Seni Halus Batik Malaysia
Contoh corak dan motif.

Jenis-jenis Seni Halus Batik Malaysia

Jenis batik ada tiga, iaitu Batik Blok, Batik Conteng, dan Batik Skrin. Maklumat berkaitan dengan jenis-jenis batik ini, Sis Min dapatkan daripada Warisan Batik.

#1 Batik Blok

Jenis Batik Blok ini dibuat dengan menggunakan blok corak, iaitu kain putih akan diterapkan dengan corak batik. Cara ini akan dibuat secara berulang-ulang dengan mengikut susunan tertentu sehingga selesai. Blok corak yang digunakan itu diperbuat daripada logam atau kayu. Blok corak akan dicelupkan ke dalam pewarna lalu ditekapkan di atas kain putih.

#2 Batik Conteng

Jenis Batik Conteng ini menggunakan teknik mencanting bagi menghasilkan motif dan corak pada kain batik. Batik Conteng ini akan dilakarkan corak dengan lilin panas di atas kain putih. Seterusnya, selepas proses melakar selesai, corak akan diwarnakan dengan menggunakan berus cat. Lilin yang ada pada corak tersebut berfungsi untuk mematikan warna. Ini bermaksud, jika warna terkena bahagian lilin, ia tidak akan mencomotkan corak.

Seni Halus Batik Malaysia
Contoh Batik Conteng

#3 Batik Skrin | Seni Halus Batik Malaysia

Jenis Batik Skrin sama sahaja dengan Batik Blok dan Batik Conteng. Namun ada sedikit perbezaan dari segi cara melakar corak dan menerapkan warna. Corak akan dibentuk di atas skrin yang diperbuat daripada kain polyester. Skrin tersebut akan dilekapkan di atas kain putih. Kemudian, warna akan dilalukan di atas corak dengan menggunakan sekuji. Cara ini diulang beberapa kali dengan corak yang berlainan bagi menghasilkan corak batik yang lengkap. Hal ini kerana, satu skrin hanya boleh menggunakan satu warna sahaja.

Budaya dan Warisan Seni Halus Batik Malaysia

Batik amat popular dalam kalangan masyarakat Malaysia dan Indonesia. Setiap corak dan motif pada batik yang terdapat di Malaysia berbeza dengan Indonesia. Tetapi, batik Johor lebih menunjukkan pengaruh daripada Jawa dan Sumatera, Indonesia. Boleh baca lebih lanjut di sini.

Berdasarkan akhbar Berita Harian, industri batik wujud di Kelantan dan bermula pada tahun 1911. Manakala, Indonesia bermula pada abad ke-12. Motif pada batik Malaysia lebih terang dan motifnya lebih berunsurkan alam semula jadi seperti motif flora. Motif haiwan seperti serangga, burung dan hidupan laut yang berwarna gelap merupakan motif batik Indonesia.

Budaya dan warisan pemakaian batik di Malaysia biasanya dipakai sebagai pakaian dan aksesori. Marilah sama-sama menjaga warisan seni halus batik Malaysia dengan membeli dan memakainya walaupun menghadiri majlis kenduri kahwin. Hal inilah yang menjadikan batik Malaysia semakin dipandang, bahkan dijadikan sebagai satu pakaian wajib bagi penjawat awam pada setiap hari Khamis.

Cukup sekadar itu sahaja perkongsian kali ini. Sis Min harapkan agar artikel ini dapat memberikan sedikit sebanyak informasi yang berguna kepada anda yang minat akan pakaian yang dihasilkan daripada kraf tangan ini.

Penafian
Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.

Jangan lupa layari SisRasa.com untuk mendapatkan lebih banyak artikel yang menarik!

Sis Rasa, Sis Cerita

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published.