Resipi Ikan Patin Tempoyak
Masakan

Resipi Ikan Patin Tempoyak yang Sedap

Siapa yang suka makan tempoyak? Sis Min suka sangat tempoyak, Sis Min teringat kalau di kampung dulu selalu jadikan tempoyak sebagai sambal yang dimakan bersama-sama ulam-ulaman. Lagi sedap kalau tempoyak itu ditambah dengan ikan bilis yang ditumbuk bersama cili. Makin berselera kalau ada ikan patin masak tempoyak. Jadi, hari ini Sis Min nak kongsikan resipi ikan patin tempoyak yang sedap kepada anda.

Resipi ini Sis Min dapatkan daripada Telegram Resipi Dunia Masakan sebab Sis Min belum pernah lagi masak ikan patin tempoyak dengan sedap. Hehehe. Jom kita lihat bahan-bahan yang diperlukan untuk memasak ikan patin tempoyak ni.

Resipi Ikan Patin Tempoyak
Sumber: Says

Bahan-bahan

  • 1 ekor ikan patin (disiang bersih dan dipotong kepada beberapa bahagian)
  • 20 biji cili api (ikut tahap kepedasan)
  • Kunyit hidup 2 inci
  • Beberapa sudu besar tempoyak (ikut kepekatan)
  • 1000 ml air (boleh kurangkan atau tambah)
  • Segenggam daun kesum
  • 2 batang bunga kantan
  • Sedikit garam

Cara Penyediaan | Resipi Ikan Patin Tempoyak

  1. Mula-mula, cuci ikan patin dengan air asam jawa dan tepung atau gunakan limau untuk hilangkan bau hanyir ikan patin.
  2. Kemudian, tumbukkan cili api dan kunyit hingga lumat.
  3. Masukkan tempoyak ke dalam bahan tumbukan tadi. Biarkan ia sebati dengan cili dan kunyit.
  4. Lumurkan bahan tempoyak tadi ke atas ikan patin dan perapkan sebentar dalam 15 minit.
  5. Seterusnya, masukkan ikan patin ke dalam periuk dan tambahkan air. Masak ikan patin yang sudah diperap tadi menggunakan api sederhana.
  6. Apabila masakan tadi sudah mendidih, masukkan daun kesum, bunga kantan dan sedikit garam. Masak lagi sehingga mendidih.
  7. Tutup api dan siap dihidangkan.

Siap juga ikan patin masak tempoyak. Mudah saja kan guna resipi ikan patin tempoyak ini? Bila lauk dah siap, jangan lupa masak nasi. Makan bersama nasi panas dan ditambah pula dengan ulam-ulaman, pasti berselera.

Perut Sis Min berkeroncong apabila menulis resipi ini. Sis Min yakin anda yang sedang membaca pun mungkin kecur air liur membayangkan ikan patin masak tempoyak ini.

Siapa pernah makan ikan patin masak tempoyak di Temerloh? Ramai yang mengatakan masakan orang Temerloh ni enak! Kalau anda datang ke Temerloh, mesti singgah ke restoran ikan patin tempoyak di sana, kan? Tapi, kalau anda tinggal di Selangor, anda boleh makan di Restoran Temerloh Catering yang mempunyai banyak cawangan di Selangor.

Sis Min harapkan agar artikel mengenai resipi ini dapat membantu anda memasak dengan mudah dan paling penting sedap.

Penafian
Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.

Jangan lupa layari SisRasa.com untuk mendapatkan lebih banyak artikel yang menarik!

Sis Rasa, Sis Cerita

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published.