Pemilihan Jenis Baju Melayu
Fesyen, Pendidikan

Pemilihan Jenis Baju Melayu untuk Lelaki

Sis Min yakin, pembaca blog Sis Rasa ini pasti dalam kalangan wanita. Mungkin ada segelintir kaum Adam yang membaca blog Sis Rasa ini. Oleh itu, Sis Min nak kongsikan artikel berkaitan dengan pemilihan jenis baju Melayu kepada anda semua.

Lagipun, penulisan artikel ini bertujuan untuk berkongsi ilmu kepada semua terutamanya kaum Hawa, supaya mudah untuk anda memilih baju Melayu bagi kaum Adam. Sebagai contoh, memilih baju Melayu untuk ayah, suami, anak lelaki atau ahli keluarga yang lain.

Sebelum ini, Sis Min ada bercerita mengenai baju kurung dan baju kebaya. Jika anda terlepas artikel tersebut, boleh baca di link ini untuk jenis baju kurung dan ini untuk baju kebaya. Sebelum Sis Min masuk kepada pemilihan baju Melayu, Sis Min nak kongsikan sedikit berkenaan dengan asal usul dan maksud di sebalik baju Melayu ini.

Segala maklumat berkaitan dengan pemilihan jenis baju Melayu ini, Sis Min dapatkan daripada laman web Alaf 21 dan beberapa laman web lain.

Pemilihan Jenis Baju Melayu
Sumber: I am Lejen

Asal Usul Baju Melayu | Pemilihan Jenis Baju Melayu

Baju Melayu merupakan baju tradisional masyarakat Melayu lelaki yang biasa dipakai secara harian. Baju Melayu juga dikatakan pakaian adat tradisi dan bersinonim dengan agama Islam. Hal ini dikatakan demikian kerana pakaian ini sering dipakai ketika menghadiri majlis keramaian, ke pejabat pada hari Jumaat dan ketika menunaikan solat.

Baju Melayu dipercayai diilhamkan sekitar 700 tahun dahulu pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, iaitu ketika pemerintahan Sultan Muhammad Syah. Pada ketika itu, sultan mahukan orang Melayu mempunyai identiti dan jati diri sebagai bangsa Melayu, maka wujudlah baju Melayu ini. Boleh baca lebih lanjut di sini.

Baju Melayu diperbuat daripada fabrik kapas, satin atau apa-apa jenis fabrik yang selesa dipakai. Selain itu, baju Melayu dijahit dengan cara berpesak atau potongan moden yang dipanggil potongan Cina. Lengan baju Melayu disambung terus pada badan baju. Ada juga lengan baju yang dijahit secara berpesak dan berkekek.

Falsafah Baju Melayu | Pemilihan Jenis Baju Melayu

Di sebalik keistimewaan baju Melayu ini ada maksud dan falsafahnya yang tersendiri pada poket dan butang yang terdapat pada baju Melayu. Terdapat tiga poket yang ada pada baju Melayu, iaitu di atas pada bahagian kiri dada dan dua di bawah.

Secara logiknya, poket berfungsi sebagai tempat menyimpan barang untuk dibawa bersama dan dijaga daripada hilang. Dalam konteks yang lain, maksud sebenar di sebalik tiga poket itu ialah tiga asas ilmu agama yang merangkumi ilmu akidah, ilmu fikah dan ilmu tasawuf. Boleh tonton video ini untuk mengetahui maklumat lebih lanjut berkenaan maksud tersirat baju Melayu.

Jenis Baju Melayu

Terdapat dua rekaan baju Melayu, iaitu Baju Melayu Cekak Musang dan Teluk Belanga.

Baju Melayu Cekak Musang | Pemilihan Jenis Baju Melayu

Baju Melayu Cekak Musang dikenali di tengah dan utara Malaysia. Potongan cekak musang merujuk kepada cara jahitan pada leher baju Melayu tersebut. Misalnya, potongan cekak musang berbentuk seperti leher baju India kerana rumah butangnya bertindan.

Terdapat beberapa rekaan butang Baju Melayu Cekak Musang, seperti butang tiga, empat atau lima. Kebiasaannya, Baju Melayu Cekak Musang menggunakan lima butang dan dikaitkan dengan agama Islam, iaitu lima butang yang menunjukkan 5 rukun Islam.

Tambahan pula, Baju Melayu Cekak Musang amat sesuai dipadankan dengan samping yang dipakai di luar baju yang menampakkan samping secara penuh.

Baju Melayu Teluk Belanga | Pemilihan Jenis Baju Melayu

Baju Melayu Teluk Belanga biasanya terkenal di Johor. Potongan pada bahagian leher Baju Melayu Teluk Belanga dijahit secara sulaman yang menyerupai jahitan leher baju kurung. Jahitan pada leher baju dikenali sebagai jahitan tulang belut atau insang pari.

Leher Baju Melayu Teluk Belanga akan dikancing dengan satu butang. Satu butang yang dikancing ini juga membawa maksud yang tersirat, iaitu satu menunjukkan Tauhid, Allah Yang Maha Esa, Allah yang Satu dan hanya Dia yang perlu disembah.

Seseorang akan kelihatan lebih segak dengan memakai Baju Melayu Teluk Belanga di luar samping yang menampakkan sebahagian samping.

Pemilihan Warna Baju Melayu Mengikut Tona Kulit

Baju Melayu Teluk Belanga dan Cekak Musang sesuai dipakai pada Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha. Pemilihan warna baju perlulah sesuai mengikut tona kulit si pemakai agar si pemakai akan kelihatan lebih segak dan kemas. Maklumat berkaitan tona kulit ini, Sis Min dapatkan daripada laman web Bob Rock Lovelily.

Kulit Sawo Matang

Rata-rata orang Melayu di Malaysia mempunyai kulit sawo matang. Pemilihan jenis baju Melayu yang berwarna kuning dan hijau sesuai dipakai oleh orang yang berkulit sawo matang. Hal ini kerana, warna baju tersebut akan membuat si pemakai kelihatan lebih menyerlah. Elakkan memakai baju berwarna kelabu kerana si pemakai akan kelihatan kusam dan tidak bermaya.

Sumber: Mediacorp

Kulit Cerah | Pemilihan Jenis Baju Melayu

Bagi individu yang mempunyai kulit yang cerah dan putih, anda mempunyai lebih banyak pilihan warna. Namun, elakkan memakai warna pastel seperti coklat dan biru muda kerana akan kelihatan pucat.

Pemilihan Jenis Baju Melayu

Kulit Gelap

Individu yang mempunyai tona kulit yang gelap lebih sesuai memakai warna baju yang cerah dan ceria. Misalnya, warna pink, biru laut, maroon, coklat dan putih.

Sumber: Hype

Perhiasan Baju Melayu

Tidak sempurnalah jika memakai baju Melayu tanpa perhiasan. Perhiasan yang dimaksudkan adalah seperti samping, tengkolok, songkok, dan capal.

Samping | Pemilihan Jenis Baju Melayu

Tidak lengkaplah pemakaian baju Melayu jika tidak bersamping. Pemilihan samping perlulah sepadan dengan warna baju Melayu yang dipakai. Anda boleh memilih kain samping yang berwarna lembut atau terang bagi menyerlahkan penampilan si pemakai. Baca selanjutnya di sini untuk memilih warna dan jenis material kain samping.

Walau bagaimanapun, pemakaian samping juga mempunyai maksud tersirat sama ada si pemakai berstatus bujang mahupun sudah berkahwin. Pemakaian samping di bawah lutut membawa maksud si pemakai sudah berkahwin. Manakala, jika memakai samping di atas paras lutut bermaksud si pemakai masih bujang.

Terdapat beberapa cara memakai samping dengan ikatan yang betul. Kaum wanita juga perlu tahu cara ikatan samping yang betul supaya dapat menyiapkan pasangan masing-masing bila tiba hari raya nanti. Anda boleh baca lebih lanjut cara memakai samping di sini.

Tengkolok | Pemilihan Jenis Baju Melayu

Tengkolok atau tanjak merupakan perhiasan di atas kepala yang dipakai oleh masyarakat pada suatu ketika dahulu. Tengkolok diperbuat daripada kain songket dan kain biasa yang sesuai dipadankan dengan baju Melayu Teluk Belanga dan Cekak Musang. Tambahan pula, pemakaian tengkolok menunjukkan keunikan yang tersendiri buat si pemakai. Si pemakai akan kelihatan seolah-olah pendekar Melayu pada zaman dahulu yang segak dengan tanjak di atas kepala.

Pemilihan Jenis Baju Melayu
Tengkolok

Songkok | Pemilihan Jenis Baju Melayu

Jika tidak memakai tengkolok, songkok adalah pilihan yang tepat dalam pemakaian baju Melayu. Hal ini kerana, songkok menunjukkan simbolik kepada budaya Melayu dan Islam.

Songkok

Capal

Capal ialah selipar atau alas kaki tradisional yang diperbuat daripada kulit. Seseorang yang menggayakan baju Melayu dan dipadankan dengan capal akan menunjukkan ciri yang unik dan melambangkan jati diri bangsa Melayu.

Pemilihan Jenis Baju Melayu
Sumber: Keris Empire – Capal

Semua sudah tahu kan bahawa setiap pemakaian baju Melayu ada maksud yang tersirat? Oleh hal yang demikian, sebagai kaum wanita, baju Melayu yang manakah menjadi pilihan hati untuk dipakai oleh kaum lelaki?

Di samping kaum lelaki dapat bergaya dengan baju Melayu ini, secara tidak langsung dapat mengekalkan cara pemakaian dan mendidik mereka melalui penggayaan busana tradisional ini. Hal inilah yang menyedarkan masyarakat bahawa baju Melayu ini suatu peninggalan yang tidak ternilai daripada nenek moyang terdahulu.

Sis Min harapkan agar artikel Pemilihan Jenis Baju Melayu ini dapat membantu para wanita memilih baju Melayu untuk digayakan oleh kaum lelaki bagi menghadiri majlis keramaian atau dipakai di mana-mana mengikut kesesuaian keadaan.

Penafian
Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.

Jangan lupa layari SisRasa.com untuk mendapatkan lebih banyak artikel yang menarik!

Sis Rasa, Sis Cerita

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *