Jenis Baju Kurung Mengikut Negeri di Malaysia

Baju kurung merupakan pakaian tradisional yang terkenal dalam kalangan wanita Melayu. Busana yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas ini bertebuk bulat di bahagian leher dan bukaan sedikit di bahagian dada. Baju kurung tradisional mempunyai pesak kiri dan kanan serta berlengan panjang. Ada pelbagai jenis baju kurung mengikut negeri yang terdapat di Malaysia.

Si pemakai akan kelihatan lebih ayu dan anggun apabila mengenakan baju kurung tradisional kerana baju kurung dikenali juga sebagai “baju tertutup”. Baju kurung sesuai dipakai di mana-mana sahaja kerana pakaiannya yang sopan dan tidak mencolok mata serta mempunyai keunikan yang tersendiri terutama jika busana tersebut digayakan sewaktu majlis keraian.

Sumber: Songket Safaa – Baju Kurung

Baju Kurung dan Adat Resam

Sebelum Sis Min kongsikan jenis baju kurung mengikut negeri, anda perlu tahu bahawa baju kurung amat sinonim dengan adat resam masyarakat Melayu malahan, ianya berkait rapat dengan ajaran Islam sejak abad ke-12. Hal ini terbukti berdasarkan penemuan batu nisan di Pekan, Pahang yang ditulis dalam tulisan jawi. Boleh baca selanjutnya di sini.

Tambahan pula, busana baju kurung ini mempunyai ciri yang labuh, longgar dan menutup aurat yang menunjukkan sinonimnya dengan ajaran agama Islam yang sudah lama bertapak di Tanah Melayu. Hal ini sebagaimana yang diterangkan dalam laman web Mufti Wilayah Persekutuan;

…”Ketahuilah juga bahawa aurat wanita di dalam solat itu adalah auratnya juga ketika di luar solat.

Sumber: Laman Web Mufti Wilayah Persekutuan

Ayat di atas bermaksud pemakaian yang labuh, longgar dan menutup aurat boleh dibawa ke dalam solat kerana syarat sah solat bukannya memakai telekung tetapi menutup aurat. Jadi, bila memakai baju kurung sudah pasti boleh dibawa ke dalam solat.

Jenis Baju Kurung Mengikut Negeri

Perkongsian kali ini, Sis Min nak kongsikan kepada anda semua jenis baju kurung yang terdapat di negeri-negeri yang ada di Malaysia seperti Perak, Pahang, Kedah, Johor, Melaka, dan Negeri Sembilan. Nak tahu jenis baju kurungnya? Teruskan membaca perkongsian ini.

Segala maklumat berkaitan dengan baju kurung ini, Sis Min dapatkan daripada laman rasmi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan beberapa laman web lain.

Baju Kurung Perak | Jenis Baju Kurung Mengikut Negeri

Baju Puteri Perak

Jenis baju kurung mengikut negeri Perak ini dikenali sebagai Puteri Perak kerana pakaian ini merupakan pakaian rasmi yang dipakai oleh puteri kesultanan Perak. Busana ini agak unik kerana dipakai bersama seluar Aceh dan samping yang diikat dengan ikatan cara Perak.

Baju Puteri Perak

Pakaian ini akan disesuaikan dengan selendang panjang yang diperbuat daripada material songket. Baju ini juga ada persamaan dengan baju Melayu Cekak Musang kerana mempunyai cekak musang di bahagian kolarnya.

Baju Kurung Pahang

Baju Riau Pahang

Baju Kurung Pahang ini dikenali sebagai baju Riau Pahang. Hal ini kerana, dikatakan mempunyai ikatan pertalian antara dua negeri yang mempunyai hubungan yang baik, iaitu Riau-Lingga dan Pahang pada suatu ketika dahulu.

Jenis Baju Kurung Mengikut Negeri
Sumber: Muslimah Clothing – Baju Kurung Pahang

Baju kurung ini dikatakan persis Habaya yang berasal daripada Turki kerana labuhnya sehingga paras buku lali.

Baju Kurung Kedah | Jenis Baju Kurung Mengikut Negeri

Baju Kurung Kedah yang dikatakan berasal daripada Selatan Thailand ini mempunyai ciri seperti blouse pendek paras pinggul. Baca di sini. Fabrik bagi busana ini diperbuat daripada songket bunga tabur. Manakala, kainnya daripada kain songket corak jalur berdiri berwarna hijau dan kuning. Namun, selepas diubah mengikut peredaran zaman, kainnya tidak mempunyai jalur berdiri berwarna hijau dan kuning. Boleh baca di sini.

Baju Tradisional Thailand

Gambar di atas menunjukkan baju tradisional Thailand yang seakan mempunyai persamaan dengan baju Kurung Kedah seperti gambar di bawah.

Baju Kurung Johor | Jenis Baju Kurung Mengikut Negeri

Baju Kurung Teluk Belanga

Busana ini dikatakan sangat selesa dipakai kerana bajunya yang labuh dan longgar. Busana ini akan digayakan dengan kain sarung dan diikat dengan ikatan ombak beralun.

Baju Kurung Teluk Belanga ini antara busana yang menjadi kegemaran Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Hal ini dikatakan demikian kerana, Datuk Rizalman Ibrahim yang merupakan tukang jahit kepada kerabat diraja mengatakan dalam Berita Harian bahawa Raja Permaisuri Agong sangat ringkas kerana lebih gemar memilih Baju Kurung Teluk Belanga. Hal ini berikutan kerana baju ini tidak mempunyai pesak dan kekek tetapi masih mengekalkan tradisi baju yang ditenun daripada fabrik songket.

Jenis Baju Kurung Mengikut Negeri
Sumber: Berita Harian – Baju Kurung Teluk Belanga

Permaisuri Agong juga pernah berkata dalam laman Instagramnya dan telah diterbitkan oleh MStar bahawa pemakaian baju kurung ialah pakaian hariannya dan baginda Permaisuri sangat bangga akan tradisi baju kurung tersebut.

Jenis Baju Kurung Mengikut Negeri Melaka

Baju Kurung Melaka

Busana tradisional ini adalah jenis baju kurung teluk belanga yang selesa dipakai oleh kaum wanita. Baju Kurung Melaka ini mempunyai keunikan yang tersendiri kerana terdapat hiasan sibar layang yang dihasilkan dari baldu berserta manik dan labuci, serta dihias pada bahagian dada busana.

Baju Kurung Negeri Sembilan

Baju Kurung Ibu Soko

Baju Kurung Ibu Soko merupakan pakaian tradisional Negeri Sembilan. Ibu Soko yang membawa maksud wanita yang mempunyai ilmu dan pengalaman tentang peradaban dan perjalanan adat terutama mengenai salasilah kekeluargaannya.

Busana ini mempunyai teluk belanga di bahagian leher dengan jahitan Tulang Belut serta mempunyai kain ikatan Tindih Kasih. Potongan busana ini berbentuk kembang payung, mempunyai pesak dan berkekek.

Baju Kurung Ibu Soko

Jenis baju kurung mengikut negeri bagi Negeri Sembilan ini sememangnya mempunyai keunikan yang tersendiri. Hal ini kerana, busana ini perlu dipadankan dengan samping yang diikat berbeza mengikut daerah. Misalnya, kain samping diikat paras dada bagi si pemakai Baju Kurung Ibu Soko di daerah Jelebu. Manakala di daerah Kuala Pilah, ikatan samping diikat paras pinggang dengan ikatan ombak beralun.

Anda boleh baca lebih lanjut mengenai jenis baju kurung mengikut negeri yang tidak terdapat dalam artikel ini di laman web JKKN di sini dan ini.

Baju Kurung yang Digubah

Walau bagaimanapun, Sis Min lihat zaman kini ramai dalam kalangan wanita yang mengubah baju kurung menjadi moden dan ada rekaan yang tidak menunjukkan ciri kesopanan. Tidak salah untuk mereka baju kurung dengan memberikan nafas baharu mengikut peredaran zaman, tetapi perlulah kekalkan tradisi yang terdapat pada busana baju kurung tersebut, khususnya untuk jenis baju kurung mengikut negeri yang ada di Malaysia.

Sumber: Shopee – Baju Kurung yang Telah Digubah

Sis Min teringat kata-kata dari Sasterawan Negara yang ke-14, Prof. Dr. Siti Zainon Ismail suatu ketika dahulu di Majlis Pembentangan Karya Sastera di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) berkaitan dengan cara pemakaian baju tradisional. Beliau mengatakan pemakaian busana tradisional haruslah ada tatacaranya dan mestilah tertib.

Setiap busana tradisional yang dipakai bermula dari selendang, baju, kerongsang dan kain sarung mempunyai maksud yang tersendiri.

Jenis Baju Kurung Mengikut Negeri
SN ke-14, Prof. Dr. Siti Zainon Ismail

Namun, kata beliau dalam akhbar Berita Harian pula mengenai seni busana masa kini sudah tidak dianggap mempunyai ciri adat tradisi tetapi ramai yang menganggap sebagai kreativiti sebagaimana dalam slot pertandingan ratu cantik.

Selepas membaca jenis baju kurung mengikut negeri ini, agak-agak mana satu pilihan anda untuk menggayakannya di majlis keraian? Bagi Sis Min, Sis Min lebih suka pada baju kurung Pahang.

Penafian
Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.

Jangan lupa layari SisRasa.com untuk mendapatkan lebih banyak artikel yang menarik!

Sis Rasa, Sis Cerita

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *