Resipi Agar-agar Cendol Mudah
Masakan

Resipi Agar-agar Cendol Mudah dan Sedap

“Kenapa pipi merah-merah ni? Nak cendol ke?” Tak nak cendol! Tapi nak agar-agar cendol! Sis Min gurau je. Hehehe. Siapa yang gemar makan cendol pasti suka dengan agar-agar cendol, betul tak? Nak cuba tak resipi agar-agar cendol mudah? Sis Min belum pernah buat resipi ni. Jadi, resipi ini Sis Min dapatkan daripada laman web Rasa dan diolah sedikit mengikut kuantiti bahan.

Bahan-bahan nak buat agar-agar cendol ni mudah saja. Bahannya sama seperti bahan untuk membuat cendol. Sedapnya kalau buat agar-agar ini pada musim panas. Lagi sedap kalau makan agar-agar cendol yang sudah disejukkan.

Resipi Agar-agar Cendol Mudah
Sumber: Rasa – Agar-agar cendol

Sebelum sambung berangan-angan makan agar-agar cendol, mari tengok dulu bahan yang diperlukan untuk membuat agar-agar cendol ini. Barulah boleh buat agar-agar cendol yang sedap!

Bahan-bahan | Resipi Agar-agar Cendol Mudah

Lapisan Cendol dan Santan

Lapisan cendol ni yang akan berada pada lapisan bawah dan mempunyai rasa yang lemak kerana bahan yang digunakan itu mengandungi santan.

  • 10 gm agar-agar tali (basuh dan rendam sekejap)
  • 800 ml air
  • ½ cawan gula putih
  • 1 kotak kecil santan (boleh guna Kara atau apa-apa brand)
  • 1 bungkus cendol (tapis)
  • Sedikit garam
  • Sehelai daun pandan (ikat simpul)

Lapisan Atas dengan 3 Jenis Gula

  • 10 gm agar-agar tali (basuh dan rendam sekejap)
  • 800 ml air
  • ½ cawan gula melaka
  • ¼ cawan gula merah
  • ½ cawan gula putih
  • 1 kotak kecil santan
  • Sehelai daun pandan (ikat simpul)

Bahan-bahan untuk agar-agar cendol pun dah sedia, mari tengok cara penyediaannya pula.

Cara Menyediakan | Resipi Agar-agar Cendol Mudah

Cara Penyediaan Lapisan Cendol dan Santan

  1. Mula-mula, masukkan air, agar-agar tali dan sehelai daun pandan ke dalam satu periuk dan masak sehingga agar-agar larut.
  2. Perlahankan api. Kemudian, masukkan gula, garam dan santan. Kacau sehingga sebati.
  3. Masukkan cendol yang sudah ditapis airnya ke dalam periuk tersebut. Kacau sehingga mendidih. Tutupkan api dan keluarkan daun pandan.
  4. Sediakan loyang saiz 9×9. Tuangkan lapisan cendol dan santan ke dalam loyang.
  5. Biarkan ianya sejuk.
  6. Jika lapisan cendol dan santan sudah keras, anda bolehlah cakarkan guna garpu ke atas lapisan tersebut.

Tujuan menggunakan garpu untuk cakar permukaan lapisan cendol dan santan itu untuk membolehkan lapisan gula dan lapisan cendol dapat bercantum dengan sempurna.

Penyediaan Lapisan Atas 3 Jenis Gula

  1. Masukkan air, agar-agar tali, gula melaka, gula merah, gula putih dan daun pandan ke dalam satu periuk. Masak sehingga bahan tersebut larut.
  2. Perlahankan api, masukkan santan dan garam. Kacau sehingga mendidih. Tutup api.
  3. Tuangkan ke atas lapisan cendol dan santan yang telah keras.
  4. Simpan dalam peti sejuk.

Gunakan api yang perlahan ketika masukkan santan. Selepas santan dimasukkan, kacau secara kerap supaya tidak berketul-ketul.

Siap juga resipi agar-agar cendol mudah, sesuai dihidangkan untuk minum petang. Lagi sedap dimakan apabila agar-agar cendol ini sejuk.

Resipi Agar-agar Cendol Mudah
Sesuai untuk minum petang.

Sis Min harapkan agar perkongsian Resipi Agar-agar Cendol Mudah kali ini dapat membantu anda menyediakan agar-agar cendol untuk seisi keluarga. Selamat mencuba!

Penafian
Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.

Jangan lupa layari SisRasa.com untuk mendapatkan lebih banyak artikel yang menarik!

Sis Rasa, Sis Cerita

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published.