Jenis Kebaya Tradisional Mengikut Negeri di Malaysia

Beberapa hari lepas Sis Min ada kongsikan jenis baju kurung mengikut negeri. Jadi, kali ini Sis Min nak kongsi pada anda semua jenis kebaya tradisional mengikut negeri di Malaysia. Hal ini kerana, baju kurung dan kebaya adalah dalam kategori busana tradisional.

Ada yang suka memakai baju kurung dan ada juga yang gemar bergaya dengan baju kebaya. Kedua-duanya sesuai dipakai di mana-mana majlis terutama majlis keraian. Baju kebaya mempunyai lengan yang panjang dan rekaan yang terbelah di bahagian dada yang ditutupi dengan pin atau kerongsang. Ada yang kata baju kebaya ini sedikit seksi, tapi tidak bagi Sis Min. Hal ini kerana, di Malaysia terdapat pelbagai jenis kebaya, malah ada jenis kebaya yang labuh dan sesuai dipakai oleh wanita yang bertudung.

Negeri-negeri di Malaysia ini mempunyai baju kebaya yang bervariasi. Bukan sahaja pada jenis material, tetapi pada rekaannya yang berlainan antara satu sama lain. Segala maklumat berkaitan dengan baju kebaya ini, Sis Min dapatkan daripada laman web rasmi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan beberapa laman web lain.

Jenis Kebaya Tradisional Mengikut Negeri

Perkongsian kali ini, Sis Min nak berkongsi jenis kebaya yang ada di negeri Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Johor, Kelantan, Pulau Pinang, dan Perlis.

Kebaya Tradisional di Selangor

Kebaya Selangor

Menerusi akhbar Selangor Kini mengatakan baju kebaya mengikut negeri Selangor ini dikenali sebagai Kebaya Selangor atau The Malay Dress. Hal ini kerana, dipercayai gabungan daripada Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka, Kedah, Perak, Selangor dan Bugis. Kebaya Selangor mempunyai ciri yang longgar dan labuh, iaitu melepasi lutut, berpesak empat di hadapan, berkekek dipakai secara selisih, dilipat sedikit di bahagian leher, dan hujung lengan lurus.

Jenis Baju Kebaya Tradisional Mengikut Negeri
Sumber Selangor Kini – Kebaya Selangor

Kebaya Selangor akan dipadankan dengan kain songket, tenun bugis, atau kain batik mengikut status si pemakai. Semua orang memakai Kebaya Selangor yang diperbuat daripada kain kapas, namun kerabat diraja memakai kebaya dengan padanan kain tenun bugis. Manakala, rakyat biasa memakainya dengan kain batik, dan pengantin pula dipadankannya dengan kain songket.

Jenis Baju Kebaya Tradisional Mengikut Negeri
Kebaya Selangor yang Dipakai oleh Pengantin

Kebaya Labuh | Jenis Kebaya Tradisional Mengikut Negeri

Kebaya Labuh atau juga dikenali sebagai Kebarung yang merupakan gabungan daripada nama baju kebaya dan baju kurung. Kebarung ini merupakan fesyen yang dipercayai berasal daripada Selangor dan telah diminati oleh kaum wanita pada tahun 90-an. Kebaya Labuh ini boleh dipadankan dengan kain batik dan mempunyai potongan yang sedikit longgar berbanding kebaya biasa.

Jenis Kebaya Tradisional Mengikut Negeri
Sumber: Inhanna – Kebaya Labuh

Jenis Kebaya Tradisional Mengikut Negeri Melaka

Kebaya Peranakan/Kebaya Nyonya

Busana tradisional ini dikenali sebagai Kebaya Peranakan atau biasa dipanggil Kebaya Nyonya. Kebaya ini dinamakan sebagai Kebaya Peranakan kerana sangat popular dalam kalangan masyarakat peranakan Cina di Melaka.

Jenis material yang biasa digunakan untuk membuat Kebaya Nyonya ini ialah fabrik kasa rubia, kain tenunan kosong diperbuat daripada benang pintal yang halus untuk menghasilkan kain yang jarang dan ringan.

Corak pada Kebaya Nyonya berbeza dengan kebaya-kebaya lain, kerana mempunyai motif tersendiri seperti bunga dan haiwan dalam pelbagai warna. Boleh baca selanjutnya di sini dan ini.

Jenis Kebaya Tradisional Mengikut Negeri
Kebaya Nyonya

Negeri Sembilan | Jenis Kebaya Tradisional Mengikut Negeri

Baju Kebaya Setengah Tiang

Kebaya ini merupakan busana tradisional bagi Negeri Sembilan. Baju ini dinamakan sebagai Kebaya Setengah Tiang kerana bajunya labuh sedikit berbanding kebaya pendek, tetapi pendek sedikit berbanding kebaya panjang. Baju Kebaya Setengah Tiang ini dipadankan dengan kain batik sarung dan pernah menjadi amat popular pada awal tahun 50-an untuk digayakan dalam majlis keraian.

Selain digayakan sewaktu bertandang ke majlis kenduri kahwin, busana tradisional ini juga dipakai semasa berada di rumah, malah ada juga yang menggunakannya ketika bersawah.

Walau bagaimanapun, penggunaan Kebaya Setengah Tiang yang dipakai ketika bersawah adalah berbeza apabila dipakai di majlis keraian. Misalnya, kain kapas berbunga biasanya dibawa ke bendang. Manakala, fabrik seperti broked, kain kasa, tenunan songket benang emas dan perak akan digayakan untuk menghadiri majlis keraian.

Jenis Kebaya Tradisional Mengikut Negeri
Kebaya Setengah Tiang

Negeri Johor

Kebaya Johor-Riau

Jenis Kebaya tradisional mengikut negeri Johor pula ialah Kebaya Johor-Riau. Busana ini juga dikenali sebagai Baju Belah Kebaya Panjang kerana mempunyai potongan labuh sehingga ke buku lali. Kebaya ini berbelah, berkekek dan mempunyai pesak pada bahagian hadapan. Bagi menutup belahan pada bahagian dada, kancing atau kerongsang tiga akan dipadankan.

Sumber: Alaf 21

Jenis Kebaya Tradisional Mengikut Negeri Kelantan

Kebaya Kota Bharu

Kebaya ini dikatakan mirip dengan baju kebaya di Pulau Jawa yang dipanggil sebagai Baju Kutu Baru. Hal ini kerana, Kebaya Kota Bharu mempunyai rekaan baju yang pendek di tengah tetapi panjang di bahagian belakang. Busana tradisional ini dinamakan sebagai Kebaya Kota Bharu kerana secara tradisinya dipakai oleh wanita-wanita Kota Bharu, Kelantan. Kebaya Kota Bharu ini juga mempunyai kancing di bahagian depan dada yang menunjukkan perbezaannya dengan kebaya-kebaya negeri lain.

Jenis Kebaya Tradisional Mengikut Negeri
Sumber: Shopee

Jenis Kebaya di Negeri Pahang

Kebaya Pendek Pahang

Jenis kebaya tradisional mengikut negeri Pahang yang seterusnya ialah Kebaya Pendek Pahang. Kebaya ini mempunyai potongan besar dan pesak di bahagian hadapan. Baju ini juga direka dengan kekek di bahagian ketiak. Kebiasaannya busana ini akan digayakan dengan selendang yang disandang pada bahu kanan serta tiga kerongsang dipakai di bahagian hadapan.

Jenis Kebaya Tradisional Mengikut Negeri
Kebaya Pendek Pahang

Negeri Pulau Pinang

Kebaya Pulau Pinang

Jenis kebaya tradisional mengikut negeri Pulau Pinang pula ialah Kebaya Pulau Pinang. Kebaya ini direka dengan potongan yang labuh yang biasanya diperbuat daripada kain sari. Kebaya Pulau Pinang ini digunakan oleh Jawi Peranakan seperti kaum India Muslim, iaitu kaum Mami dan Mamak. Kaum Mami lebih gemar menggayakan kain lace yang dihiasi dengan sulaman labuci. Manakala, kaum Mamak lebih gemar menggunakan kain sari untuk dijadikan kebaya.

Sumber: Alaf 21

Negeri Perlis

Kebaya Perlis

Jenis kebaya tradisional mengikut negeri Perlis pula ialah Kebaya Perlis. Busana tradisional ini mempunyai reka bentuk yang sama seperti baju kebaya yang lain jika dilihat pada bahagian hadapan. Tetapi jika dilihat pada bahagian belakang, busana ini mempunyai kekek persis baju kurung dan tidak bertulang di atas bahu.

Terdapat dua cara pemakaian Kebaya Perlis, iaitu mempunyai lipatan hadapan dan akan diletakkan kerongsang di atas bahagian lipatan. Kedua, bahagian hadapan tidak ada lipatan tetapi ditindankan terus lipatan dan diletakkan kerongsang yang menyerong di atasnya.

Jenis material yang digunakan untuk menghasilkan Kebaya Perlis ini adalah daripada material kain kapas dan kasa rubia. Hal ini kerana, material ini apabila disarungkan pada tubuh si pemakai akan terletak elok sahaja. Hal inilah yang akan membuatkan si pemakai kelihatan lebih cantik dan selesa.

Sumber: Bernama

Jika diberi pilihan untuk memakai baju kebaya bagi menghadiri majlis kenduri kahwin, yang mana satu menjadi pilihan anda? Sis Min akan pilih baju Kebaya Perlis sebab kelihatan lebih anggun jika dipakai.

Diharapkan agar artikel Jenis Kebaya Tradisional Mengikut Negeri ini dapat memberikan sedikit sebanyak informasi yang berguna kepada anda.

Penafian
Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.

Jangan lupa layari SisRasa.com untuk mendapatkan lebih banyak artikel yang menarik!

Sis Rasa, Sis Cerita

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *