Hak Isteri Selepas Bercerai
Pendidikan

Hak Isteri Selepas Bercerai, Lelaki Jangan Lepas Tangan!

Baru-baru ini di media sosial, seorang usahawan atau juga dikenali sebagai influencer media sosial mempunyai masalah dengan bekas suaminya. Hal ini kerana, nama beliau dibuang dari syarikat perniagaan mereka. Anda boleh baca di sini lebih lanjut. Jadi, semua wanita sama ada yang sudah berkahwin atau belum, perlu tahu mengenai hak isteri selepas bercerai. Hal ini supaya maruah sebagai seorang wanita tidak diinjak oleh makhluk yang bernama lelaki.

Oleh hal yang demikian, perkongsian kali ini Sis Min ingin terangkan serba sedikit mengenai hak-hak isteri selepas diceraikan. Maklumat berkaitan hak wanita selepas bercerai ini Sis Min dapatkan daripada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan laman web lainnya.

Hak Isteri Selepas Bercerai
Gambar Sekadar Ilustrasi

Kes penceraian semakin meningkat saban hari seperti mana kes penceraian di Selangor dicatatkan angka paling tinggi iaitu 12,479 kes. Dalam tempoh sehari mencatatkan jumlah 121 kes permohonan cerai bagi pasangan beragama Islam. Perkara ini telah disebutkan oleh YB Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati Samsudin di dalam Dewan Rakyat menerusi TV Berita Harian.

Hak Tuntutan di Mahkamah

Hak selepas penceraian amat perlu supaya hak-hak bagi suami, isteri dan anak-anak dilindungi. Allah berfirman dalam Surah Al-Talaq ayat 1 mengenai hak isteri selepas bercerai;

“Wahai Nabi! Apabila kamu (engkau dan umatmu) hendak menceraikan isteri-isteri, maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan idahnya, dan hitunglah idah itu (dengan betul), serta bertakwalah kepada Allah, Tuhan kamu. Janganlah kamu mengeluarkan mereka daripada rumah-rumah kediamannya sehingga selesai idahnya, dan janganlah pula dibenarkan mereka keluar (dari situ), kecuali (jika) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan itulah aturan-aturan hukum Allah, (maka janganlah kamu melanggarnya), dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka sesungguhnya dia telah berlaku zalim kepada dirinya. Patuhilah hukum-hukum itu, kerana engkau tidak mengetahui, mungkin Allah akan mengadakan sesudah itu, suatu perkara (yang lain).”

Surah Al-Talaq: 1

Hak-hak selepas penceraian ini boleh dituntut di mahkamah syariah selepas penceraian berlaku sebagaimana yang dinyatakan oleh JKSM.

Hak Isteri Selepas Bercerai

Antara hak yang boleh dituntut termasuklah nafkah idah, mutaah, harta sepencarian, hadanah, nafkah anak, tempat tinggal, dan tunggakan nafkah.

Nafkah Idah

Hak isteri selepas bercerai seterusnya ialah nafkah idah. Nafkah idah wajib dibayar oleh bekas suami kepada bekas isteri yang berupa tempat tinggal, makanan, dan pakaian mengikut hukum syarak dalam tempoh idah raji. Hal ini dikatakan demikian kerana, kedua-dua belah pihak boleh berfikir panjang dalam tempoh idah tersebut sama ada mahu merujuk atau tidak.

Namun begitu, terdapat syarat yang membolehkan isteri berhak menuntut hak idah ini, antaranya;

  • Isteri yang diceraikan dengan talak 1 dan 2. Talak 1 dan 2 ini dalam kategori talak raji, yang di mana talak yang boleh dirujuk.
  • Isteri yang sedang hamil dan diceraikan dengan talak bain berhak mendapatkan nafkah idah sehingga anaknya dilahirkan.
  • Isteri yang patuh dan taat (tidak nusyuz) pada suami berhak mendapat idah.

Ada juga syarat yang di mana bekas isteri tidak boleh menuntut hak nafkah idah ini daripada bekas suami. Anda boleh baca selanjutnya mengenai syarat idah ini di laman web Guaman Syarie di sini.

Mutaah | Hak Isteri Selepas Bercerai

Sejumlah harta (pemberian sagu hati) yang wajib suami berikan kepada isteri yang pernah disetubuhinya jika penceraian itu berlaku tanpa sebab yang munasabah mengikut hukum syarak. Kadar bayaran mutaah ini ditentukan oleh kedua-dua belah pihak. Jika ada pertikaian dan percanggahan antara dua pihak, Mahkamah Syariah yang akan menentukan kadar bayaran mutaah.

Menurut Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang pula mengatakan mutaah ini adalah pemberian sejumlah harta daripada bekas suami kepada bekas isteri yang pernah disetubuhinya dan penceraian yang berlaku bukan disebabkan kematian suami atau berpunca daripada isteri.

Terdapat tujuan pemberian mutaah ini dilakukan dalam Islam;

  • Pemberian mutaah ini adalah salah satu hak isteri selepas bercerai bagi membolehkan isteri menggunakannya untuk hidup secara berdikari. Hal ini kerana, jika dalam perkahwinan, isteri biasanya bergantung kepada suami.
  • Pemberian mutaah ini membawa maksud perceraian itu bukan berpunca daripada bekas isteri. Oleh hal yang demikian, pemberian mutaah melindungi maruah isteri daripada prasangka buruk daripada masyarakat. Hal ini kerana tanggapan masyarakat biasanya mengatakan isteri yang diceraikan adalah berpunca daripada aib isteri.
  • Menunjukkan penceraian yang dibuat secara baik. Hal ini kerana pemberian mutaah ini sebagai tanda penghargaan bekas suami kepada bekas isteri atas jasa dan pengorbanan yang diberikan oleh isteri sewaktu masih dalam tempoh perkahwinan.

Baca lebih lanjut di sini.

Harta Sepencarian

Hak isteri selepas bercerai ialah harta sepencarian. Harta sepencarian adalah harta yang diperolehi bersama oleh suami dan isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh hukum syarak. Wang ringgit, harta alih, harta tak alih atau apa-apa aset yang pernah dikongsi bersama semasa dalam ikatan perkahwinan dinamakan sebagai harta sepencarian.

Tuntutan harta sepencarian ini boleh dibuat di Mahkamah Tinggi Syariah. Pembahagian harta sepencarian berdasarkan sumbangan pihak-pihak yang terlibat dalam pemerolehan harta sepencarian. Bentuk sumbangan ini terbahagi kepada dua, iaitu sumbangan secara langsung dan sumbangan secara tidak langsung.

Boleh baca di sini untuk mengetahui lebih lanjut mengenai dua bentuk sumbangan tersebut.

Hak Isteri Selepas Bercerai
Gambar Sekadar Ilustrasi

Hadanah (Hak Jagaan Anak) | Hak Isteri Selepas Bercerai

Hak penjagaan anak yang masih kecil dan belum mumayiz atau dengan kata lain tidak boleh menguruskan diri sendiri dikenali sebagai hadanah.

Akta 303 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 pada Bahagian VII-Penjagaan, termaktub bahawa hadinah yang merupakan seorang perempuan yang berhak mendidik seseorang kanak-kanak, adalah berhak menjalankan hak terhadap hadanah (hak jagaan anak) dengan memenuhi syarat yang ditetapkan dalan Seksyen 82. Kelayakan-kelayakan yang perlu untuk penjagaan:

  • dia seorang Islam;
  • dia adalah sempurna akal;
  • dia berumur yang melayakkan dia memberi kepada kanak-kanak itu jagaan dan kasih sayang yang mungkin diperlukan oleh kanak-kanak itu;
  • dia berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah; dan
  • dia tinggal di tempat di mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani.

Jika anak-anak berumur 9 tahun ke atas dan berlaku pertingkahan dalam hak jagaan anak, mahkamah akan menentukan berdasarkan pilihan yang dipilih oleh anak-anak sama ada ingin dijaga oleh ibu atau bapanya.

Hak Tempat Tinggal | Hak Isteri Selepas Bercerai

Hak isteri selepas bercerai berhak mendapat tempat tinggal selama tempoh idah. Tempat tinggalnya mestilah yang dirasakan selesa dan biasa semasa dalam ikatan perkahwinan dahulu.

Hak Isteri Selepas Bercerai
Tempat Tinggal

Nafkah Anak

Nafkah ini wajib ke atas seseorang bagi menanggung nafkah anaknya sama ada anaknya itu berada dalam jagaannya atau jagaan orang lain. Makanan, tempat tinggal, pendidikan, pakaian dan perubatan merupakan nafkah anak yang perlu diberikan cukup sekadar mengikut kemampuannya.

Gambar Sekadar Ilustrasi

Tunggakan Nafkah | Hak Isteri Selepas Bercerai

Tunggakan nafkah merupakan nafkah yang tidak ditunaikan oleh bekas suami kepada bekas isterinya sewaktu dalam tempoh ikatan perkahwinan. Nafkah yang tidak ditunaikan ini menjadi hutang ke atas bekas suaminya dan wajib dibayar.

Cukuplah perkongsian pada hari ini, jika anda ingin tahu lebih lanjut mengenai Akta 303 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, boleh baca di sini.

Penafian
Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.

Jangan lupa layari SisRasa.com untuk mendapatkan lebih banyak artikel yang menarik!

Sis Rasa, Sis Cerita

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *