Manfaat Makan Asid Folik
Kesihatan, Pendidikan

Manfaat Makan Asid Folik Cegah Bayi Cacat!

Ramai wanita yang masih tidak tahu kepentingan asid folik. Asid folik ini mampu mencegah daripada terjadinya kecacatan pada kandungan atau bayi. Oleh itu, Sis Min nak kongsikan manfaat makan asid folik terutama kepada wanita yang sedang hamil.

Asid folik bukan sahaja bagus diambil oleh wanita yang sedang hamil, malah ianya sangat digalakkan untuk wanita yang ingin hamil dan yang belum berkahwin. Selain itu, asid folik merupakan sejenis Vitamin B9 yang amat diperlukan oleh tubuh badan. Asid folik dapat menghasilkan DNA baru dan membaiki DNA yang rosak di dalam sel.

Segala maklumat mengenai asid folik ini, Sis Min dapatkan daripada Facebook Public Health Malaysia, Dr. Zubaidi Hj Ahmad, dan beberapa laman web lain.

Manfaat Makan Asid Folik

Manfaat Makan Asid Folik untuk Ibu Mengandung

Asid folik adalah suplemen yang paling penting diambil oleh wanita sebaik sahaja disahkan hamil terutama semasa trimester pertama kehamilan. Menurut Dr. Zubaidi Hj Ahmad, bagi wanita yang hamil secara tidak dirancang, dinasihatkan untuk mengambil asid folik secara berterusan sekurang-kurangnya sehingga 12 minggu kehamilan.

Pengambilan asid folik dengan dos sebanyak 400 mcg perlu diambil oleh ibu hamil setiap hari. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), menyarankan kepada ibu hamil untuk mengambil makanan yang mengandungi folat seperti sayur-sayuran hijau dan kekacang.

Namun, pengambilan dos asid folik boleh ditingkatkan mengikut penilaian doktor yang merawat, terutama jika ibu hamil mempunyai masalah seperti berikut:

  • Bayi sebelumnya mengalami masalah kecacatan.
  • Suami atau wanita itu sendiri yang mempunyai masalah Kecacatan Tiub Saraf/Neural Tube Defect (NTD).
  • Ibu hamil yang mengambil ubat sawan (epilepsy).
  • Ibu hamil yang menghidap diabetes, talasemia, dan anemia.

Tambahan pula, manfaat makan asid folik untuk ibu hamil pada trimester awal kehamilan dapat mengurangkan risiko kecacatan pada tiub saraf (NTD). Hal ini dikatakan demikian kerana, proses kecacatan pada bayi biasanya berlaku pada bulan pertama awal kehamilan.

Manfaat Makan Asid Folik untuk Wanita yang Merancang Kehamilan/Belum Berkahwin

Menurut laman web Hello Doktor, asid folik bagus diambil oleh wanita yang merancang kehamilan atau belum berkahwin. Hal ini dikatakan demikian kerana, pengambilan asid folik mampu mengurangkan penyakit jantung. Asid folik yang merupakan sejenis Vitamin B, mampu mengurangkan paras amino acid homocysteine yang ada kaitannya dengan penyakit jantung.

Selain itu, asid folik amat penting diambil oleh wanita bagi membantu kematangan telur ovum, pembentukan plasenta dan menguatkan rahim sewaktu janin berada di dalam rahim.

Manfaat Makan Asid Folik

Manfaat Makan Asid Folik untuk Lelaki

Asid folik bukan sahaja perlu diambil oleh wanita. Malahan lelaki juga amat memerlukan asid folik ini. Hal ini dikatakan demikian kerana, asid folik dapat membantu merawat masalah kesuburan bagi lelaki. Menurut Dr. Zubaidi Hj Ahmad, pengambilan asid folik dapat mengurangkan kecacatan kromosom pada sperma lelaki.

Kecacatan kromosom boleh menyebabkan janin tidak dapat bertahan lama di dalam rahim (gugur). Oleh itu, wanita yang mengalami keguguran pada awal kehamilan juga berpunca daripada masalah ini. Bagi mengurangkan risiko keguguran dan kecacatan kromosom, para suami disarankan untuk mengambil asid folik sebanyak 700 – 1000 mcg setiap hari.

Berdasarkan laman web Hello Doktor, manfaat makan asid folik ini dapat membantu dalam proses pembentukan sperma (spermatogenesis). Hal ini dikatakan demikian kerana, asid folik mengandungi nutrisi yang mampu merawat ketidaksuburan sperma. Bagi pasangan yang agak sukar mendapatkan zuriat, asid folik merupakan salah satu usaha untuk merawat masalah kesuburan.

Kekurangan Asid Folik

Jika ibu hamil kekurangan asid folik, akan menyebabkan beberapa masalah seperti berikut:

  • Meningkatkan risiko kelahiran pramatang.
  • Perkembangan fizikal bayi terencat.
  • Menyebabkan keguguran secara tiba-tiba.
  • Mengalami komplikasi (pendarahan atau sawan).

Sekarang anda sudah pun tahu manfaat makan asid folik, kan? Jadi, saranan Sis Min kepada wanita yang belum berkahwin mahupun yang sedang merancang untuk mengandung perlulah mengambil asid folik ini. Kepada ibu hamil yang belum mengambil asid folik, anda masih belum terlambat untuk mengambilnya. Tapi, sebelum itu, anda perlulah mendapatkan nasihat daripada doktor terlebih dahulu.

Sis Min harapkan agar artikel ini dapat memberikan maklumat yang berguna kepada anda berkaitan dengan kepentingan mengambil asid folik.

Penafian
Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.

Jom layari Sisrasa.com untuk mendapatkan lebih banyak artikel yang menarik!

Sis Rasa, Sis Cerita

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *