Baru-baru ini kecoh dalam media sosial mengenai ikan siakap yang dijual dengan harga yang mahal di sebuah restoran yang terletak di Pulau Langkawi. Walaupun begitu, bagi Sis Min, harga yang ditawarkan itu sesuai bagi mereka yang berkemampuan. Tambahan pula, restoran itu memasak ikan siakap yang segar yang mereka ternak dari kolam. Bila cakap mengenai ini, tiba-tiba Sis Min teringin nak makan ikan siakap masak tiga rasa. Nasib baik Sis Min ada resipi yang mudah. Mari Sis Min kongsikan dengan anda semua.
Anda boleh beli ikan siakap ini di pasar berdekatan dengan harga yang tidak sampai RM20 pun. Semua bahan yang digunakan untuk masak ikan siakap ni pun murah dan senang didapati. Mungkin bahan-bahan ini sudah ada di dapur rumah anda. Mari tengok bahan dan cara masak yang akan Sis Min kongsikan ini.
Bahan-bahan Ikan Siakap:
Mari sediakan bahan-bahan untuk ikan siakap.
- Seekor ikan siakap (disiang)
- Minyak masak (kuantiti minyak terpulang pada anda)
- Secubit garam
- Suku sudu serbuk kunyit
- Satu sudu tepung jagung
Bahan-bahan Tumisan Masak Tiga Rasa:
Bahan untuk ikan sudah, sekarang mari tengok bahan tumisan ikan siakap masak tiga rasa.
- 3 sudu besar minyak masak
- 2 biji bawang besar (potong dadu)
- 2 ulas bawang putih (potong dadu)
- 1 biji tomato (potong dadu)
- 3 cili padi (potong dadu)
- ½ batang lobak merah (potong dadu)
- ½ buah nanas (potong dadu) – pilihan
- 3 sudu besar sos cili
- 2 sudu besar sos tomato
- 1 sudu besar sos tiram
- 1 batang serai (diketuk)
- 1 akar ketumbar
Bahan untuk Hiasan:
Bahan untuk hiasan ni pilihan saja. Sis Min lebih suka kalau masakan ada hiasan kerana akan kelihatan lebih menarik dan menyelerakan. Mari tengok bahan-bahannya.
- ½ biji bawang merah (hiris besar)
- 3 helai daun salad
- Daun ketumbar (hiris halus)
Cara Memasak Ikan Siakap Tiga Rasa:
Selepas menyediakan bahan-bahan, mari kita mula memasak. Tak sabar nak makan ikan siakap masak tiga rasa.
Cara Memasak Ikan Siakap:
- Mula-mula panaskan minyak masak untuk menggoreng ikan. Ratakan ikan siakap yang dah siap disiang dan dibersihkan itu dengan garam, serbuk kunyit dan letakkan tepung jagung. Tepung jagung ini berperanan untuk memberi kerangupan pada ikan siakap. Masukkan ikan siakap dan goreng sehingga masak keperangan. Angkat dan toskan ikan tersebut.
Cara Memasak Tumisan Tiga Rasa:
Jom tengok cara menumis kuah ikan siakap masak tiga rasa.
- Seterusnya, panaskan sedikit minyak di dalam kuali dan masukkan bahan tumisan yang telah dipotong dadu. Mulakandari bawang merah, bawang putih dan serai sehingga naik bau. Kemudian masukkan tomato, lobak merah, cili padi, dan nanas. Tumiskannya sehingga layu.
- Campurkan sos cili, sos tomato, sos tiram, akar daun ketumbar ke dalam bahan tumisan. Masak sehingga kuah menjadi pekat. Tutup api.
- Hiaskan salad ke dalam pinggan dan letakkan ikan siakap yang dah goreng di atas salad. Tuangkan kuah yang dimasak tadi ke atas ikan siakap. Hiaskan bawang dan daun ketumbar yang telah dihiris ke atas ikan.
Maka jadilah resipi ikan siakap masak tiga rasa. Senang je kan? Bahan yang digunakan pun mudah. Jangan lupa masak nasi. Sesuai dihidangkan sebagai makanan tengah hari atau makan malam bersama seisi keluarga. Pasti berselera!
Sis Min selalu masak resipi ini dengan gandingan tom yam poktek dan kailan ikan masin. Ayah dan adik beradik Sis Min pasti makan bertambah. Selera betul!
Sis Min harapkan agar perkongsian resipi ikan siakap masak tiga rasa ini dapat membantu anda untuk masak makanan yang mudah dan murah tetapi dijamin sedap untuk seisi keluarga anda. Selamat menjamu selera!
Siapa yang kaki travel? Dah jumpa tempat nak bercuti nanti? Jom layari Cerita Malaysia bagi mendapatkan info lokasi yang menarik!
Jom Simpan Bekalan Bahan Dapur Anda di Dalam Bekas Aesthetic Ini | Ikan Siakap Masak Tiga Rasa
Kepada yang bercadang nak masak-masak hujung minggu ni, make sure anda dapatkan bekas-bekas aesthetic terlebih dahulu melalui link ini ya >> https://shope.ee/4fVxvSLsWp.
Macam-macam bahan dapur kering boleh disimpan seperti kayu manis, bunga lawang, buah pelaga, lada hitam, cengkih, serbuk kunyit dan banyak lagi. Semuanya atas daya kreativiti anda! Apa yang pasti, Sis Min memang approve.✅
Penafian
Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.
Jangan lupa layari SisRasa.com untuk mendapatkan lebih banyak artikel yang menarik!
Sis Rasa, Sis Cerita