Cara Rawatan Sakit Apendiks
Kesihatan

Cara Rawatan Sakit Apendiks – Bahaya jika Dibiarkan!

Sakit apendiks merupakan sakit yang memerlukan pembedahan dengan segera bagi mengeluarkan apendiks tersebut. Jika tidak dirawat, apendiks ini akan meradang dan akhirnya akan pecah. Oleh itu, terdapat beberapa cara rawatan sakit apendiks ini. Bagi sesiapa yang pernah mengalami sakit apendiks ini, mesti tahu bagaimana azabnya sakit yang dirasakan.

Sebelum itu, anda juga perlu tahu gejala atau simptom penyakit apendiks ini agar rawatan boleh dilakukan. Segala maklumat berkaitan dengan sakit ini, Sis Min dapatkan daripada laman web Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Hello Doktor, dan beberapa laman web lainnya.

Apa itu Apendiks? | Cara Rawatan Sakit Apendiks

Apendiks merupakan sejenis usus yang kecil pada usus buntu (tertutup) yang terdapat pada persimpangan usus kecil dengan usus besar. Ia terletak di sebelah kanan abdomen. Menurut KKM, apendiks merupakan usus yang terletak antara usus kecil dan usus besar dan dikenali sebagai “end organ”. Hal ini dikatakan demikian kerana, usus ini tidak berhubung dengan usus lain.

Apendiks merupakan organ yang panjangnya 3.5 inci daripada usus besar. Apendiks mengandungi tisu khusus yang dapat menghasilkan antibodi. Walau bagaimanapun, fungsi bagi apendiks ini masih belum dapat dikenal pasti. Namun, ianya tetap boleh mendatangkan penyakit yang dikenali sebagai sakit apendisitis (radang apendiks).

Radang apendiks ini akan menyebabkan organ apendiks bernanah dan bengkak. Menurut Columbia Asia, dianggarkan 2% masyarakat akan mengalami sakit apendiks ini. Orang dewasa dan kanak-kanak juga turut berpotensi mendapat radang apendiks ini.

Secara lazimnya, masyarakat yang berumur antara 10 hingga 30 tahun kerap mengalami sakit apendiks. Sekiranya sakit apendiks ini tidak dirawat, ia akan membengkak dan akhirnya pecah yang boleh menyebabkan jangkitan kuman terjadi pada organ yang lain. Malah, ianya menjadi lebih serius kerana mampu membawa kepada maut.

Cara Rawatan Sakit Apendiks

Punca Apendisitis | Cara Rawatan Sakit Apendiks

Punca berlakunya apendisitis masih belum dikenal pasti. Tetapi, ada kemungkinan penyakit ini terjadi disebabkan ada sesuatu yang menghalang pintu masuk ke pundi apendiks. Sebagai contoh, terdapat sisa makanan atau ketulan najis yang terperangkap dalam saluran apendiks.

Selain itu, apendisitis terjadi disebabkan jangkitan kuman pada usus atau adanya kecederaan di bahagian lain. Jangkitan kuman boleh merebak dengan cepat dan mengakibatkan organ apendiks bengkak dan bernanah.

Simptom Apendisitis

Sebelum mengulas mengenai cara rawatan sakit apendiks, anda perlu tahu bahawa apendiks ini melibatkan pelbagai simptom yang boleh berubah pada bila-bila masa. Sakit apendiks ini biasanya bermula di sekitar bahagian pusat dan beralih ke bahagian bawah kanan abdomen. Bahagian ini juga dikenali sebagai titik McBurney atau McBurney point. Titik ini terletak di bahagian tengah perut, iaitu pertengahan di antara perut dan bahagian atas tulang pelvik kanan.

Cara Rawatan Sakit Apendiks

Selain daripada simptom di atas, terdapat beberapa simptom lain bagi sakit apendiks ini berdasarkan laman web Doctor On Call. Simptom tersebut adalah seperti berikut:

  • Loya
  • Muntah
  • Cirit-birit
  • Sembelit
  • Tidak boleh mengeluarkan gas (kentut)
  • Demam
  • Perut kembung
  • Tiada selera makan
  • Kekejangan perut
  • Sakit semasa membuang air kecil

Jika anda mengalami simptom seperti di atas, segeralah berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.

Cara Rawatan Sakit Apendiks

Jika anda mengalami apendisitis, rawatan yang akan diberikan ialah pembedahan kecemasan. Pembedahan ini dipanggil sebagai “appendectomy”, iaitu pembedahan bagi mengeluarkan apendiks. Namun, jika anda tidak melakukan pembedahan kecemasan, apendiks yang membengkak ini akan pecah. Hal ini boleh menyebabkan jangkitan kuman merebak di seluruh ruang abdomen.

Pembedahan ini boleh dilakukan secara pembedahan konvensional atau pembedahan laparoskopik. Namun demikian, jika apendiks telah pecah dan menyebabkan kontaminasi, pembedahan yang lebih besar (laparotomy) akan dilakukan.

Oleh itu, cara rawatan sakit apendiks yang paling cepat dan terbaik ialah dengan melakukan pembedahan. Anda boleh baca lebih lanjut mengenai rawatan pembedahan di sini dan di sini.

Menurut Public Health Malaysia, tidak ada bukti yang mengatakan pengambilan cili dan jambu batu sebagai punca terjadinya apendisitis. Tetapi, untuk mengatasi masalah sakit apendiks ini, anda disarankan untuk mengambil makanan yang kaya dengan serat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran. 

Cukup sampai di sini sahajalah perkongsian pada kali ini. Sis Min harapkan agar artikel ini dapat memberikan informasi yang berguna kepada anda.

Penafian
Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.

Jom layari Sisrasa.com untuk mendapatkan lebih banyak artikel yang menarik!

Sis Rasa, Sis Cerita

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *