Kemas Homestay Lepas Guna – Perlu Ke?

Biasanya kalau menyewa homestay atau hotel anda selalu kemas ke tak sebelum check out? Perlu ke kemas homestay lepas guna? Bagi Sis Min, apabila kita dah menyewa untuk menginap di tempat orang, lebih baik kita yang membersihkan tempat tersebut sebagaimana keadaan rumah yang kita dapat sewaktu check in, begitu jugalah keadaan waktu check out.

Tapi, sepatutnya tuan rumahlah yang bersihkan. Ya, memang betul, tuan rumah yang patut bersihkan. Tapi, apa salahnya kita tunjukkan sikap menjaga kebersihan kepada tuan rumah. Mungkin lain hari, kita boleh sewa semula di tempat yang sama kerana tuan rumah sudah mempercayai kita.

Sis Min dapat idea nak tulis artikel ini daripada Tik Tok Puan Suraya Ali, di mana beliau mengemas dengan bersih homestay yang telah didudukinya. Kata beliau dalam videonya, beliau sudah terbiasa mengemas homestay di Jeju dan Jepun apabila bawa orang Malaysia ke sana. Sikap menjaga kebersihan dan menghormati tuan rumah yang sebeginilah patut dicontohi.

Apa Kata Netizen Mengenai Kemas Homestay Lepas Guna?

Komen-komen daripada netizen ini, Sis Min ambil daripada Facebook dan Tik Tok Puan Suraya Ali.

Kemas Homestay Lepas Guna
Sumber: Facebook

Rata-rata dari komen netizen ini menunjukkan bahawa mereka juga gemar mengemas homestay sebelum keluar. Bagus sikap yang sebegini, orang yang pembersih macam inilah yang akan jadikan Malaysia ini negara yang bersih sebagaimana negara Jepun yang sudah diketahui umum, amat mementingkan kebersihan.

Kemas Homestay Lepas Guna
Komen Netizen
Kemas Homestay Lepas Guna
Komen daripada Tik Tok

Ada yang memuji Puan Suraya ni penyewa yang hebat. Hal ini kerana Puan Suraya boleh kemas homestay lepas guna dengan amat bersih. Siap ada yang tawarkan Puan Suraya untuk menginap di homestay mereka!

Cuba bayangkan jika kita mempunyai homestay dan homestay itu kita kemas dengan bersih dan semburkan dengan pewangi sebab nak sambut penyewa. Apabila tiba hari untuk penyewa keluar, kita melihat keadaan rumah yang bersepah, kotor, dan berhabuk. Apa agaknya perasaan kita waktu tu ya?

Begitu jugalah perasaan tuan rumah apabila kita tinggalkan tempat penginapan ini dengan keadaan yang bersih dan teratur, pasti mereka akan gembira dan berbesar hati untuk sewakan kepada kita lagi.

Inilah yang orang kata penyewa dari “syurga” sebabnya akan tinggalkan keadaan rumah sepertimana yang mereka dapat.

Didikan Ibu Bapa | Kemas Homestay Lepas Guna

Anak-anak umpama kain putih dan ibu bapalah yang akan mencorakkannya. Begitu juga dengan kebersihan diri. Apabila ibu bapa didik anak-anak tentang sesuatu perkara, begitulah anak-anak akan terbentuk bila di luar. Jadi, ibu bapa yang mengajar anak tentang menjaga kebersihan ketika berada di tempat orang, secara tidak langsung anak-anak akan terikut-ikut cara ibu bapa.

Komen di bawah ini menunjukkan hasil didikan ibu bapa yang menjadikan anak-anaknya menjaga kebersihan apabila duduk di tempat penginapan.

Kemas Homestay Lepas Guna
Sumber: Tik Tok

Sis Min bangga dengan ibu bapa yang mendidik anak-anaknya untuk kemas homestay lepas guna. Jadi, apabila tuan rumah mahu periksa homestay selepas kita check out, pasti mereka berasa sangat bersyukur mempunyai pelanggan yang baik seperti itu.

Didik Anak dari Kecil

Nak anak yang pandai menguruskan dan menjaga kebersihan di tempat orang, perlu bermula dari awal. Mulakan dengan didikan menjaga kebersihan diri terlebih dahulu. Hal ini supaya mereka terbiasa dengan kebersihan.

Jadi, apa yang perlu ibu bapa buat adalah menjadi suri teladan kepada anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa tunjukkan amalan yang terbaik semasa menjaga kebersihan diri dengan mencuci tangan sebelum makan, memakai selipar sewaktu ke tandas, menyapu di luar dan di dalam rumah, dan cuci pinggan atau cawan selepas digunakan.

Selain itu, ibu bapa perlulah ajar anak-anak untuk menyimpan permainan yang sudah digunakan ke dalam bekas dan susun kasut di rak kasut selepas memakainya.

Kemas Homestay Lepas Guna
Didik Anak tentang Kebersihan

Tambahan pula, jika kita bercuti dan menyewa di hotel atau homestay, kita boleh meminta anak-anak membantu untuk kemas homestay lepas guna bersama-sama dan beritahu mereka bahawa kita ini tetamu. Jadi, sebagai tetamu perlulah menjaga dan menggunakan barang orang lain dengan sebaiknya.

Sis Min harapkan agar perkongsian kali ini dapat memberikan kesedaran kepada semua untuk bersama-sama menjaga kebersihan walau di mana jua kita berada.

Penafian
Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.

Jangan lupa layari SisRasa.com untuk mendapatkan lebih banyak artikel yang menarik!

Sis Rasa, Sis Cerita

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *