Supplemen Untuk Pesakit Diabetes
Kesihatan

Supplemen untuk Pesakit Diabetes

Sis Min pasti, ramai pesakit diabetes gemar mengambil pelbagai jenis supplemen sebagai makanan tambahan. Walau bagaimanapun, tidak semua supplemen untuk pesakit diabetes boleh diambil tanpa mendapatkan nasihat doktor ya. Malah, jika ia diambil tanpa preskripsi pakar, ia boleh mendatangkan risiko kesan sampingan berpanjangan.

Jadi, entri Sis Min pada kali ini adalah khas berkenaan supplemen untuk kemudahan rujukan para pesakit diabetes di luar sana.

Untuk pengetahuan anda, perkongsian ini turut Sis Min adaptasi daripada laman Facebook Registered Pharmacist (RPh) Hendrawati Mohd Sapuan, seorang ahli farmasi berdaftar. Beliau telah berkongsikan beberapa perkara penting dalam pengambilan supplemen diabetes. Jadi, teruskan membaca sehingga habis ya!

Ketahui Tujuan Mengambil Supplemen

Sebelum mengambil sebarang supplemen, pastikan anda ketahui tujuan mengambil supplemen tersebut. Anda perlu tahu kenal pasti sama ada supplemen tersebut untuk mengawal paras gula, ataupun mengurangkan kesakitan seperti kebas-kebas, kadar kolesterol tinggi, mata kabur atau kulit yang kering.

Hal ini kerana, setiap tujuan ini akan membezakan jenis-jenis supplemen yang sewajarnya diambil. Sudah semestinya, ia juga perlu preskripsi daripada pakar perubatan dan bukan sekadar berdasarkan testimoni produk semata-mata.

Kenali Pelbagai Jenis Suplemen Untuk Pesakit Diabetes dan Tujuannya

Memang benar, terdapat begitu banyak jenis supplemen di pasaran untuk para pesakit diabetes dapatkan. Namun, untuk mengelakkan sebarang risiko yang tidak diingini, anda wajar mengenali jenis-jenis supplemen yang boleh diambil mengikut jenis dan tahap kesakitan yang anda alami.

1. Supplemen untuk Pesakit Diabetes yang Mempunyai Masalah Kebas Saraf

Untuk pesakit diabetes yang mengalami masalah kebas saraf, anda boleh mengambil supplemen Neurobion. Ia adalah kombinasi vitamin B1, B6 dan B12.

Bagi supplemen seperti Neurotropics (supplemen saraf), sebaiknya ia diambil awal bagi mengelakkan komplikasi saraf yang lebih teruk. Komplikasi saraf ini bukan sahaja berlaku pada bahagian kaki dengan rasa kebas-kebas sahaja ya!

Jika hal tersebut tidak dikawal, ia boleh melibatkan saraf pada bahagian lain seperti pundi kencing sehingga ia tidak dapat lagi menahan proses pembuangan air kecil. Selain itu, kerosakan saraf pada usus besar pula akan menyebabkan sembelit atau cirit-birit, manakala kerosakan pada saraf mata akan menyebabkan buta.

2. Mengawal Paras Gula dalam Darah

Supplement seperti Alpha Lipoic Acid (ALA) dan Chromium ini boleh membantu untuk mengawal paras gula dalam darah, kerana ia mampu meningkatkan sensitiviti reseptor insulin. Supplemen ini ada yang dijual secara berasingan di antara ALA dan Chromium, dan ada juga supplemen yang telah dikombinasikan dengan kedua-dua elemen tersebut.

3. Prediabetik

Untuk prediabetik, kebiasaannya anda boleh ambil supplemen berherba seperti Gymnema Sylvester, peria, kunyit, dan kulit kayu manis. Ia boleh diambil secara berperingkat mengikut kesesuaian.

Ubat Diabegard ini sesuai untuk mereka yang prediabetik bagi membantu mengawal progres diabetes daripada menjadi lebih teruk. Ia terdiri daripada tumbuhan seperti peria yang amat sesuai untuk mengurangkan selera makan, serta memberi kesan kepada pankreas untuk penghasilan insulin.

Supplemen seterusnya untuk prediabetik ialah Cinnamon yang terdiri daripada kulit kayu manis. Menurut Puan Hendrawati, Cinnamon yang terbaik adalah Ceylon Cinnamon kerana kandungan anti-oksidanya. Ia bertindak untuk mengurangkan reaksi tekanan oksida dalam badan yang menyebabkan kerosakan sel jika tidak dihalang. Ia juga mampu melambatkan komplikasi diabetes para pesakit.

Amaran! Pesakit dilarang untuk sewenang-wenangnya menghentikan pengambilan ubat hospital atau insulin dan bertukar kepada supplemen herba. Walaupun kajian menunjukkan bahawa herba-herba tersebut dapat menurunkan kadar gula, tetapi anda tidak disarankan untuk mengambilnya secara individual terutama buat mereka yang paras gulanya tidak terkawal.

Dapatkan Nasihat Doktor

Sebagai pesakit diabetes, amat penting untuk anda mengenali dan mengetahui jenis-jenis supplemen yang sesuai diambil mengikut keperluan. Ketahui dahulu bagaimana supplemen tersebut akan bertindak dan bagaimana ia dapat memberi kesan kepada tubuh badan.

Meskipun begitu, entri ini hanya sekadar panduan untuk anda sahaja ya! Anda tetap perlu mendapatkan nasihat doktor bagi setiap pengambilan supplemen agar ia lebih serasi dengan keadaan kesihatan tubuh badan anda.

Setakat itu sahaja perkongsian Sis Min tentang “Supplemen Untuk Pesakit Diabetes”. Jumpa lagi di lain postingan dan jangan lupa membaca lebih banyak artikel menarik di Sis Rasa.


Penafian: Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.

Sis Rasa, Sis Cerita.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *