Membeli barang dapur basah dengan banyak sememangnya memberikan kepuasan kepada wanita terutama suri rumah. Hal ini dikatakan demikian kerana, barang dapur basah yang dibeli dapat disimpan sebagai stok untuk seminggu atau sebulan. Tidak perlu bersusah payah membeli barang dapur basah apabila setiap kali hendak memasak. Namun, barang basah mudah rosak sekiranya tidak disimpan dengan betul. Oleh itu, perkongsian kali ini, Sis Min nak kupaskan lebih lanjut cara simpan barang dapur basah agar tahan lebih lama.
Barang dapur basah seperti ikan, ayam, daging, sotong, udang, dan ketam perlu disimpan dengan cara yang betul agar tahan lebih lama. Oleh itu, segala tips dan petua untuk menyimpan barang dapur basah ini, Sis Min dapatkannya daripada laman web Keluarga dan beberapa laman web lain.
Cara Simpan Barang Dapur Basah dengan Betul
Berikut merupakan jenis barang dapur basah dengan cara penyimpanannya:
Ayam
Sebelum menyimpan barang dapur basah seperti ayam, pastikan anda memilih ayam yang segar agar ia dapat disimpan dan bertahan lebih lama. Caranya, pilih ayam yang tidak pucat (lebam) dan tidak berbau. Pastikan anda memilih ayam yang pejal dagingnya apabila ditekan.
Sebelum disimpan, pastikan ayam disiang dan dibersihkan terlebih dahulu. Kemudian, masukkan ke dalam bekas bertutup kedap udara dan masukkan sedikit air. Tutup bekas tersebut dan masukkan ke dalam peti sejuk beku. Asingkan ayam yang ingin dimasak dan ayam yang ingin disimpan. Sebaiknya, letakkan juga label hari untuk memasak ayam. Sekiranya ruang di dalam peti sejuk sempit, anda boleh gunakan beg ziplock.
Ikan | Cara Simpan Barang Dapur Basah
Pastikan ikan yang anda pilih mempunyai mata yang jernih dan tidak merah. Ikan yang segar mempunyai insang yang berwarna merah dan dagingnya pejal apabila ditekan.
Cara menyimpannya, anda perlulah menyiang ikan terlebih dahulu dengan membuang isi perut, insang, sisik, dan sirip. Kemudian, basuh ikan sebaik sahaja disiang. Masukkan ikan ke dalam bekas bertutup kedap udara dan masukkan sedikit air.
Anda juga boleh menyiang ikan terlebih dahulu tetapi biarkan ikan yang disiang tidak dibasuh. Masukkan ikan ke dalam beg ziplock atau bekas bertutup kedap udara. Hal ini bertujuan untuk mengekalkan kesegaran ikan. Basuh ikan sekiranya ingin digunakan untuk memasak.
Sekiranya anda ingin menyimpan ikan yang lebih berbau hanyir, iaitu ikan sungai seperti ikan patin, ikan keli, dan ikan haruan, anda perlulah rendam ikan tersebut dengan air asam jawa dan lumurkan dengan garam. Hal ini bertujuan membuang lendir agar bau hanyir ikan sungai berkurangan. Cara penyimpanannya sama sahaja seperti di atas.
Daging
Cara simpan barang dapur basah yang seterusnya ialah untuk daging pula. Pastikan anda memilih daging yang masih berwarna merah dan tidak berbau busuk.
Bersihkan daging dengan membuang lemak dan potong daging kepada beberapa bahagian yang lebih kecil. Potong daging secara melintang selari uratnya bagi mendapatkan daging yang lembut. Cara menyimpannya ialah dengan memasukkan daging ke dalam bekas bertutup kedap udara atau beg ziplock. Elakkan membasuh daging atau memasukkan air ke dalam bekas simpanan daging. Hal ini kerana, air dapat mengurangkan kesegaran dan rasa manis pada daging.
Sotong | Cara Simpan Barang Dapur Basah
Cara untuk memilih sotong yang segar adalah memastikan kulit pada badan sotong tidak tertanggal. Selain itu, badan sotong masih pejal apabila ditekan dan matanya juga jernih. Sekiranya sotong tersebut berbau sangat hanyir, ini menunjukkan sotong tersebut tidak segar.
Cara menyimpan sotong agar tahan lebih lama adalah dengan memasukkan ke dalam bekas bertutup kedap udara atau beg ziplock. Kemudian, masukkan sedikit air dan simpan ke dalam peti sejuk beku. Sebelum itu, bersihkan terlebih dahulu sotong dengan membuang bahagian dalam perutnya seperti tulang dan dakwat hitam. Potong sotong kepada beberapa bahagian yang lebih kecil supaya mudah untuk dimasak.
Udang | Cara Simpan Barang Dapur Basah
Udang yang segar akan menghasilkan rasa yang manis. Oleh itu, pastikan anda memilih udang yang tidak lembik, kulitnya tidak tertanggal, dan berbau.
Anda perlu membersihkan udang terlebih dahulu dengan membuang urat hitam (kantung najis) pada bahagian belakang badan udang. Anda juga boleh memisahkan bahagian kepalanya dan simpan dalam bekas berlainan. Misalnya, anda boleh simpan kepala udang di dalam satu bekas untuk dijadikan stok. Bahagian badannya pula disimpan di dalam bekas lain untuk dimasak. Masukkan sedikit air ke dalam bekas simpanan udang dan simpan ke dalam peti sejuk beku.
Ketam | Cara Simpan Barang Dapur Basah
Pilih ketam yang segar dan padat isinya. Caranya, pilih dua ketam dan cuba timbang dengan menggunakan tangan. Jika salah satunya berat, itu bermakna ketam tersebut padat dengan isi. Sekiranya ketam tersebut terlalu berbau hanyir, itu bermakna ketam tidak segar.
Pastikan anda memotong kaki ketam yang tajam dan tiada isi. Kemudian, buang cangkerang pada badan ketam. Seterusnya, buang bahagian perut dan insang ketam. Kemudian, potong ketam kepada dua bahagian supaya mudah dimasak dan dimakan.
Cara menyimpannya mudah sahaja. Simpan ketam ke dalam bekas bertutup kedap udara. Elak menggunakan beg ziplock kerana dikhuatiri beg tersebut akan koyak apabila terkena bahagian tajam pada ketam. Masukkan sedikit air ke dalam bekas simpanan dan masukkan ke dalam peti sejuk beku untuk disimpan.
Kerang
Cara simpan barang dapur basah yang seterusnya ialah kerang. Pastikan anda memilih kerang yang segar dengan memastikan kerang tidak berbau busuk dan berlendir. Selain itu, pilih kerang yang cangkerangnya masih terbuka. Ini menunjukkan kerang tersebut masih hidup. Jika cangkerang tertutup, ini menunjukkan kerang tersebut sudah mati.
Bersihkan lumpur pada kerang dengan rendaman air garam dan asam keping. Biarkan sehingga lumpur keluar dari badan kerang. Kemudian, bilas dan toskan kerang sehingga bersih. Jika anda ingin memasak kerang, anda boleh rebus terus sehingga kerang terbuka dan masukkan beberapa batang serai, halia, bawang putih, dan perisa.
Jika anda ingin memasak kerang pada hari berikutnya, anda perlulah simpannya ke dalam bekas bertutup kedap udara dan jangan letakkan air ke dalam bekas tersebut. Hal ini kerana, air boleh merosakkan kerang. Simpan kerang di dalam peti sejuk beku.
Cukup sampai di sini sahajalah perkongsian pada kali ini. Sis Min harapkan agar artikel mengenai cara simpan barang dapur basah ini dapat memberikan informasi yang berguna kepada anda.
Simpan Barangan Kering Dapur Anda Dalam Bekas Aesthetic Ini!
Lepas dah tahu kesemua cara simpan barang dapur basah dengan betul, anda mesti tercari-cari cara untuk menyimpan barangan dan bahan kering dapur pula kan? Pada Sis Min, bahan seperti jintan manis, serbuk lada hitam, kekacang, garam dan sebagainya pun wajar disimpan di dalam bekas yang berseuaian tau…
Kalau anda nak dapatkan bekas-bekas aesthetic untuk menyimpan bahan-bahan kering dapur, anda boleh klik link ini terus ya >> https://shope.ee/4fVxvSLsWp.
Penafian
Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.
Jangan lupa layari SisRasa.com untuk mendapatkan lebih banyak artikel yang menarik!
Sis Rasa, Sis Cerita