menu rendah kalori
Masakan

Menu Rendah Kalori | Ringkas Tapi Sedap

Pejam celik, pejam celik, dah seminggu kita sambut Hari Raya Aidilfitri! Sis Min percaya, mesti semua seronok dapat pulang ke kampung halaman kan? Maklumlah, dah dua tahun tak pulang beraya. Tapi, mesti ada juga yang tengah bersedih tu… Yelah, dah konsisten dengan menu rendah kalori sewaktu bulan puasa, tapi bila tengah beraya, terjumpa pula hidangan raya yang sedap-sedap dan semestinya tinggi kalori! Hihi

Tapi, anda semua jangan sedih… Jom rancang semula pelan diet anda dengan 4 menu rendah kalori ringkas yang Sis Min nak kongsikan hari ini! Resepi ini dikongsikan oleh Nurul Izzah Zalani di laman Facebooknya. Paling penting, sudah semestinya semua menu rendah kalori ini ringkas dan sedap!

1. Tuna Egg Salad Sandwich

Kalori: 370 Kcal | Protein: 25g

Tuna Egg Salad Sandwich ni pada Sis Min la, paling senang nak disediakan! Sesuai sangat untuk dijadikan sarapan pagi. Bahan-bahan yang diperlukan untuk menghasilkan sandwich ni adalah seperti berikut:

Bahan-bahan

  • Roti Mil Penuh – dibakar – 2 Keping
  • Telur Rebus – 2 Biji (tips: untuk penyediaan sarapan yang cepat, telur boleh direbus awal)
  • Tuna dalam tin – 1/2 tin
  • Daun Salad
  • Timun
  • Lobak Merah
  • Lada Benggala
  • Daun Bawang
  • Bawang Merah
  • Daun Parsley
  • Yogurt Asli atau Yogurt Greek – 2 sudu makan (anggaran: 30g)
  • Lada Hitam – sedikit
  • Garam – secukup rasa

Cara Penyediaan

  1. Hancurkan sebiji telur yang telah direbus.
  2. Kemudian, campurkan tuna, yogurt, sayur-sayuran, lada hitam dan garam.
  3. Gaulkan kesemua bahan sehingga sebati.
  4. Seterusnya, letakkan baki sebiji lagi telur yang telah dibelah dua ke atas roti. Telur rebus tersebut boleh juga dihiris nipis-nipis mengikut selera anda.
  5. Letakkan bahan yang telah digaul sebati di atas telur rebus.
  6. Akhir sekali, letakkan sekeping lagi roti di atasnya dan potong mengikut citarasa anda.
  7. Tuna Egg Salad Sandwich kini siap untuk dihidangkan.

2. Sizzling Yee Mee | Menu Rendah Kalori

Kalori: 656 Kcal | Protein: 40g

Ini pula memang menu kegemaran Sis Min! Sis Min pasti akan memesan Sizzling Yee Mee ni kalau makan di restoran. Tetapi, selalunya makanan yang dijual di luar adalah tinggi kalori tau… Jadi, mari Sis Min kongsikan resepi Sizzling Yee Mee versi menu rendah kalori untuk anda!

Bahan-bahan

Perapan Ayam:

  • Dada Ayam – 150g
  • Kicap Cair kurang masin – 2 sudu teh (anggaran 10ml)
  • Bawang Putih (dicincang) – 2 ulas (anggaran 8g)
  • Halia cincang – sedikit (anggaran 1/2 inci)

Perapan ini akan jadi lebih sedap kalau anda biarkan sekurang-kurangnya 1 hingga 2 jam. Semalaman pun lebih bagus, supaya bahan perapan akan lebih meresap ke dalam isi ayam.

Bahan Kuah Sizzling:

  • Bawang Putih – 1 ulas
  • Bawang Merah – 1/2 biji bersaiz kecil
  • Cili Kering – 2 tangkai
  • Cendawan Shiitake – 3-4 biji
  • Air – 1 cawan saiz sederhana
  • Ayam – yang telah diperap
  • Sos Tiram – 1 sudu teh (anggaran 5g)
  • Kicap Pekat – 1/4 sudu teh
  • Lada Hitam – secukupnya (jika suka pedas boleh letak lebih)
  • Tepung Jagung – 3g (dibancuh dengan sedikit air)
  • Minyak – 5ml
  • Yee Mee – 1 gulung (291 kcal)
  • Telur – sebiji
  • Sawi Jepun – 1 batang pokok

Cara Penyediaan

  1. Tumiskan bawang putih, bawang merah, cili kering, cendawan shiitake bersama sedikit minyak.
  2. Masukkan air dan ayam yang telah diperap.
  3. Kemudian, masukkan sos tiram dan sedikit kicap pekat untuk menjadikan warna kuah lebih menarik.
  4. Seterusnya, masukkan lada hitam kisar.
  5. Masukkan bancuhan tepung jagung, sedikit demi sedikit.
  6. Masak sehingga tekstur kuah kelihatan sedikit pekat.

Cara Menghidang

Curahkan kuah sizzling yang masih mendidih ke atas yee mee. Anda juga boleh masak kuah sizzling bersama yee mee di atas pinggan sizzling atau iron hot plate. Hiaskan sizzling yee mee yang telah dimasak dengan sawi Jepun.

Tips Rendah Kalori

  • Boleh kurangkan yee mee kalau nak kurangkan kalori hidangan ya!

3. Murtabak Spiral

Kalori 458 Kcal | Protein 35g

Sis Min percaya, pasti ada yang baru pertama kali mendengar murtabak spiral ni kan? Murtabak spiral ni dihasilkan menggunakan pasta tau… Jika sebelum ini, kita gemar membuat murtabak mee segera, apa kata kali ini kita cuba menghasilkan murtabak daripada pasta? Bukan hanya sedap, menu ni juga rendah kalori tau!

Bahan-bahan | Menu Rendah Kalori

  • Telur – 2 biji
  • Sayur-sayuran pilihan
  • Bawang Merah (dihiris)
  • Bawang Putih (dicincang)
  • Lobak Merah (dipotong dadu)
  • Lada Benggala (di potong dadu)
  • Daun Bawang (dihiris)
  • Kubis Ungu
  • Cendawan Shiitake (dihiris)
  • Ayam Cincang (dimasak terlebih dahulu) – 100g
  • Pasta Spiral (direbus) – 50g
  • Serbuk Kari
  • Lada Hitam – secukupnya
  • Garam – secukupnya

Cara Penyediaan

  1. Campurkan kesemua bahan dan masak di atas kuali dengan api kecil, sehingga murtabak masak sepenuhnya.

Nota:

  • Sebaiknya, gunakan kuali bersaiz kecil yang tidak melekat untuk hasil yang lebih menarik
  • Saiz murtabak spiral di dalam gambar adalah berukuran 5 inci.

4. Roti Bakar Udang | Menu Rendah Kalori

Kalori: 265 Kcal | Protein: 23g

Wahhh, ini satu lagi menu rendah kalori yang bagi Sis Min sangat menarik! Kalau anda semua nak tahu, udang ni ada banyak khasiatnya tau… Udang mengandungi EPA dan DHA omega-3, serta asid lemak yang sihat. Tapi, tetap perlu bersederhana! Jika mengambil udang secara berlebihan, ia boleh menyebabkan kolesterol dalam badan kita meningkat. Hal ini akan membahayakan jantung tau!

Bahan-bahan | Dijamin Rendah Kalori

  • Roti Mil Penuh – 2 keping (dipotong 6)
  • Udang – 12 ekor (Anggaran 100g)
  • Daun Limau Purut (dihiris)
  • Daun Ketumbar (Dihiris)
  • Lobak Merah (Dipotong dadu kecil)
  • Telur – 1 biji (Putih telur sahaja)
  • Jus Limau Nipis
  • Garam – secukupnya

Cara Penyediaan:

  1. Kisar atau cincang kesemua bahan kecuali roti mil penuh, untuk dijadikan sebagai inti udang.
  2. Letakkan inti udang yang telah dikisar/dicincang keatas roti yang telah dipotong 6.
  3. Bakar roti menggunakan api kecil di atas kuali yang tidak melekat. Bakar sehingga semua bahagian garing, dan inti udang di atas roti mengeluarkan jus.
  4. Sedia untuk dihidangkan!

Nota:

  • Telur kuning yang telah diasingkan boleh disapu di atas roti, namun jumlah kalori akan bertambah sedikit.
  • Anda juga boleh bakar menggunakan air fryer. Bakar pada suhu 180’C selama 15 minit mengikut kesesuaian air fryer anda.

Haaa lepas ini, tiada lagi alasan untuk tidak mengamalkan menu makanan rendah kalori ya… Selamat mencuba semua!

Sumber artikel: SirapLimau

•••

Penafian
Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.

Jangan lupa layari SisRasa.com untuk mendapatkan lebih banyak artikel yang menarik!

Sis Rasa, Sis Cerita

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published.