Tips Keselamatan bagi Wanita
Pendidikan

Tips Keselamatan bagi Wanita ketika Berseorangan

Kebanyakan mangsa bagi kes jenayah seperti rompakan, penculikan, rogol, dan pembunuhan yang berlaku di negara ini adalah wanita. Justeru, wanita perlu tahu beberapa langkah keselamatan terutama ketika bersendirian. Mari teruskan membaca untuk ketahui lebih lanjut mengenai tips keselamatan bagi wanita.

Idea untuk berkongsi mengenai tips keselamatan wanita ini tercetus sebaik sahaja Sis Min terbaca satu thread isu jenayah daripada Sir Kamarul di laman Twitter. Anda boleh baca mengenai isu-isu jenayah berkenaan dengan wanita di sini.

Tips Keselamatan bagi Wanita Semasa Berjalan Bersendirian

  • Berjalan dengan pantas dan berkeyakinan serta peka dengan keadaan sekeliling.
  • Elakkan berjalan di kawasan yang gelap atau bercahaya samar-samar terutama waktu malam.
  • Jika anda memakai beg tangan yang bertali panjang, pastikan anda silang dan letakkan beg di hadapan.
  • Berjalan bertentangan arus trafik supaya anda tidak diserang daripada belakang seperti kes ragut.
Tips Keselamatan bagi Wanita

Semasa di Tempat Parkir Kenderaan atau Lif

  • Sediakan kunci kereta atau kunci rumah supaya jika berlaku sesuatu, anda boleh membuka pintu dengan segera.
  • Sekiranya anda berada di dalam lif bersama orang asing, jangan membelakanginya. Tetapi, anda perlulah bersandar di dinding lif supaya anda dapat melihat wajah orang asing tersebut. Sekiranya anda diserang, anda boleh keluar dengan serta-merta. Wajah yang anda lihat juga boleh dilaporkan kepada polis.
  • Anda disarankan untuk menekan semua butang lif supaya lif akan berhenti di setiap tingkat. Hal ini akan menyukarkan penjahat untuk mengetahui tempat tujuan anda serta melambatkan perbuatan jenayahnya.
  • Pastikan anda mengingati tempat parkir kenderaan anda.

Cara yang Perlu Anda Lakukan Ketika Memandu

Berikut merupakan tips keselamatan bagi wanita ketika memandu bersendirian:

  • Sekiranya anda mendapati sedang diekori, teruskan memandu ke tempat awam seperti balai polis, stesen minyak, atau kawasan yang ramai orang.
  • Jangan meletakkan beg tangan atau barang berharga di tempat duduk penumpang. Sebaiknya anda meletakkan beg tangan di bawah seat.
  • Pastikan anda mengunci kesemua pintu sebaik sahaja memasuki kenderaan.
  • Jangan meninggalkan barangan berharga seperti komputer riba, dompet, atau telefon bimbit di dalam kereta sekiranya anda ingin keluar daripada kereta.
  • Sebaik sahaja anda memasuki kenderaan, pastikan anda memeriksa cermin pandang belakang. Hal ini dikatakan demikian kerana, penjahat biasanya melakukan modus operandi dengan menyorok di seat penumpang belakang sebelum menyerang.

Anda boleh ikuti tips keselamatan yang selanjutnya di sini dan sini.

Tips Keselamatan bagi Wanita

Semasa Menaiki Kenderaan Awam

  • Sekiranya anda menaiki teksi, pastikan anda mengambil nombor plat kenderaan dan jenis kenderaan untuk dihantar kepada rakan atau ahli keluarga.
  • Sebaik sahaja anda memasuki kenderaan awam seperti teksi, pastikan anda membuat panggilan atau berpura-pura membuat panggilan dan bercakap dengan kuat. Sebagai contoh “Saya dah naik teksi jenis kereta Proton Waja dari Jalan Duta. Teksi ini bernombor plat WWW 000.” Hal ini supaya jika pemandu teksi tersebut mempunyai niat jahat, kebarangkalian untuk diserang akan lebih tipis kerana anda telah memberikan penjelasan kepada seseorang.
  • Sekiranya anda menaiki bas awam, ambil tempat duduk yang berhampiran dengan pintu. Sekiranya berlaku apa-apa, anda boleh terus melarikan diri untuk meminta pertolongan.

Anda boleh baca selanjutnya tips keselamatan ketika menaiki kenderaan awam di sini.

Tips Keselamatan bagi Wanita Semasa Tinggal Bersendirian

  • Elakkan daripada membuka pintu rumah sekiranya ada tetamu datang. Sebaiknya intai di tingkap atau bertanya dari dalam terlebih dahulu, siapa di luar. Hal ini sebagai langkah berjaga-jaga kerana mungkin ada tetamu yang tidak dikenali yang boleh membahayakan keselamatan anda.
  • Minta bukti pengenalan diri kepada orang yang tidak dikenali sekiranya mengakui diri sebagai pengawal keselamatan atau sebagainya.
Tips Keselamatan bagi Wanita

Tips Keselamatan bagi Wanita ketika Diserang

  • Pastikan anda menyimpan dan bersiap sedia menyemburkan spray pemedih mata atau pisau lipat kepada penyerang.
  • Menjerit sekuat hati dengan menyebut “Api! Api! Api!” Hal ini bertujuan menarik perhatian orang dengan segera.
  • Jika penjahat meminta barang berharga daripada anda seperti emas dan duit, serahkan sahaja. Anda juga boleh campakkan sahaja barang berharga tersebut ke satu arah dan lari ke arah yang bertentangan.

Anda boleh baca lebih lanjut mengenai langkah keselamatan untuk wanita di sini.

Tips keselamatan bagi wanita ini bukan sahaja untuk wanita yang berseorangan, tetapi tips ini juga sesuai dipraktikkan oleh kaum lelaki. Hal ini dikatakan demikian kerana, Sis Min ada terbaca satu akhbar yang mengatakan seorang lelaki diliwat ketika bersenam bersendirian. Jadi, keadaan sekarang ini bukan sahaja bahaya kepada wanita, malahan lelaki juga terdedah kepada ancaman. Anda boleh baca berita selanjutnya di sini.

Sis Min ingin mengingatkan kepada wanita di luar sana dan juga diri Sis Min sendiri agar tetap berwaspada apabila berada di luar. Sis Min harapkan agar artikel mengenai tips keselamatan bagi wanita ini dapat dijadikan sebagai panduan.

Penafian
Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.

Jangan lupa layari SisRasa.com untuk mendapatkan lebih banyak artikel yang menarik!

Sis Rasa, Sis Cerita

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *