Kurma lazimnya menjadi salah satu kudapan awal untuk berbuka puasa semasa bulan Ramadan. Ada juga yang memakan kurma semasa bersahur. Buah kurma mempunyai rasa yang manis dan bergantung kepada jenis, serta peringkat kematangannya. Seperti yang kita sedia maklum, buah kurma kaya dengan nutrisi yang baik. Namun, apakah kebaikan kurma untuk kesihatan?
1. Sumber tenaga yang cepat | Kebaikan kurma
Antara kebaikan kurma ialah, ia merupakan sumber tenaga yang bagus kerana mengandungi sumber karbohidrat ringkas yang tinggi seperti glukosa, sukrosa dan fruktosa. Karbohidrat ringkas ini dapat membekalkan dan mengembalikan tenaga dengan cepat. Oleh itu, kurma sangat sesuai dimakan setelah bersenam atau ketika badan terasa letih. Jadi, tidak hairanlah kurma amat bagus untuk diambil oleh para atlet atau umat Islam ketika berbuka puasa.
2. Memudahkan proses bersalin
Pengambilan 70-76g kurma setiap hari bermula dari minggu ke-37 kehamilan dapat mengurangkan jangka masa proses bersalin sehingga 4 jam. Hal ini dikatakan demikian kerana, kurma mendorong pembukaan serviks yang memudahkan proses bersalin dan mengurangkan kemungkinan induksi kehamilan (induce labour), serta bermanfaat dalam peningkatan peluang untuk mengalami kelahiran semula jadi.
Komponen yang ada di dalam kurma mampu mengikat reseptor oksitosin dan meniru fungsi oksitosin yang menyebabkan kontraksi semasa bersalin, seterusnya memudahkan proses melahirkan anak.
3. Berpotensi mencegah kanser
Satu kajian dijalankan mendapati bahawa, penggunaan ekstrak kurma pada kadar 100µg/mL boleh menghalang pembentukan sel kanser di perut, payu dara, paru-paru dan usus. Hal ini dikatakan demikian kerana, kurma mengandungi antioksidan, seperti flavonoid, quercetin, steroids dan polifenol. Antioksidan ini dapat meningkatkan aktiviti enzim antioksidan seperti superoxide dismutase (SOD) dan glutathione-S-transferase (GST) yang boleh menghalang penambahan sel rosak dengan mengurangkan peluang mutagenesis (aktiviti mutasi DNA).
4. Baik untuk sistem penghadaman | Kebaikan kurma
Kebaikan kurma juga dapat membantu sistem penghadaman. Kandungan serat kira-kira 3.57-10.9g dalam 100g kurma dapat mengelakkan masalah sistem penghadaman, seperti sembelit. Serat larut dan tidak larut dalam kurma dapat meningkatkan saiz najis dan melembutkannya, meningkatkan kadar pergerakan usus, serta melancarkan sistem penghadaman makanan. Secara tidak langsung, pengambilan kurma dapat mengurangkan risiko kanser usus.
5. Meningkatkan kesihatan kardiovaskular
Pengambilan kurma dapat meningkatkan kesihatan kardiovaskular, seperti jantung. Satu kajian telah dijalankan mendapati bahawa kurma mampu mengurangkan kadar triglyceride dan tekanan oksidatif yang menyebabkan penyumbatan plak di arteri serta meningkatkan risiko serangan jantung. Kurma yang kaya dengan kalium tetapi rendah garam dapat menurunkan tekanan darah tinggi, sekaligus mengelakkan serangan jantung. Antioksidan dan antiradang pada buah kurma juga mampu mencegah penyakit jantung.
Kurma kaya dengan nutrisi, seperti karbohidrat, serat, vitamin, mineral dan antioksidan yang boleh memberi kebaikan kepada kesihatan.
مَنْ أَكَلَ سَبْعَ تَمَرَاتٍ مِمَّا بَيْنَ لَابَتَيْهَا حِينَ يُصْبِحُ، لَمْ يَضُرَّهُ سُمٌّ حَتَّى يُمْسِيَ
Maksudnya : “Sesiapa yang memakan pada waktu pagi tujuh biji kurma, yang ditanam antara dua bebatuan hitam, tidak akan memberi mudarat kepadanya sebarang racun sehinggalah petang.”
Semoga perkongsian kali ini dapat memberi manfaat kepada anda.
Sumber: Root of Science
•••
Penafian
Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.
Jangan lupa layari SisRasa.com untuk mendapatkan lebih banyak artikel yang menarik!
Sis Rasa, Sis Cerita