Checklist Persiapan Perkahwinan
Fesyen

Checklist Persiapan Perkahwinan

Persiapan sesebuah perkahwinan sememangnya tidak mudah! Walau bagaimanapun, anda tidak perlu risau kerana Sis Min akan berkongsikan tentang checklist persiapan perkahwinan untuk bakal pengantin sebagai bahan rujukan anda.

Terdapat beberapa perkara yang memerlukan fokus mendalam sebelum majlis perkahwinan berlangsung. Daripada sekecil-kecil perkara, sehinggalah ke sebesar-besar perkara yang tidak sewajarnya dilepas pandang. Andai terjadi, ia mungkin boleh mencacatkan aturcara majlis raja sehari bakal pengantin.

Checklist Persiapan Perkahwinan 9 Bulan Sebelum Majlis

Untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini semasa majlis perkahwinan, checklist persiapan perkahwinan adalah perkara yang sangat penting. Jadi, jom Sis Min kongsikan persiapan yang wajar anda lakukan seawal 9 bulan sebelum majlis berlangsung.

1. Hadiri Food Testing

Checklist Persiapan Perkahwinan
Sumber: Raja Briyani Catering

Semasa majlis perkahwinan berlangsung, makanan yang dihidangkan kepada para tetamu adalah penting. Kita pasti hendak menyediakan makanan yang enak buat mereka, kan? Jadi, pastikan anda sudah mencuba terlebih dahulu segala menu yang akan disediakan oleh pihak katering.

2. Buat Bayaran Deposit untuk Vendor

Pada waktu ini, kita seharusnya sudah menetapkan vendor untuk majlis perkahwinan nanti. Hal ini termasuklah lokasi dewan, katering dan sebagainya supaya mereka juga akan lock tarikh tersebut untuk anda.

3. Tempah Busana Perkahwin dan Keluarga

Checklist Persiapan Perkahwinan
Sumber: PP Signature

Pasangan pengantin sudah boleh menempah baju kahwin dan baju keluarga sekiranya perlu. Pastikan warna busana yang ditempah adalah seiring dengan tema supaya keseriannya lebih terserlah.

Persiapan 6 Bulan Sebelum Majlis | Checklist Persiapan Perkahwinan

1. Hadiri Kursus Perkahwinan

Luangkan hari minggu anda untuk menghadiri kursus perkahwinan. Kursus perkahwinan ini biasanya mengambil masa dua hari sahaja. Ia bukan sekadar untuk memperoleh sijil semata-mata, tetapi membuatkan kita lebih memahami tanggungjawab suami isteri di dalam hal rumahtangga.

2. Lakukan Ujian HIV dan Talasemia

Ujian HIV dan Talasemia sangat penting buat kedua-dua pasangan. Hal ini supaya pasangan dapat merancang keluarga dan zuriat yang sihat pada masa akan datang.

3. Hadiah Hantaran

Checklist Persiapan Perkahwinan
Sumber: pengantinbaru.com

Pastikan untuk membuat senarai barangan yang ingin dijadikan sebagai barangan hantaran. Barang-barang dekorasi juga boleh dibeli, digubah sendiri ataupun disewa daripada butik atau kedai barang perkahwinan.

Checklist Persiapan 3 Bulan Sebelum Perkahwinan

1. Sediakan Borang dan Dokumen Penting

Anda perlu memohon dan mendapatkan kebenaran bernikah melalui Pejabat Agama Islam Daerah masing-masing. Tidak lupa juga, kedua-dua pasangan perlulah menyediakan dokumen-dokumen penting seperti:

  • Salinan kad pengenalan
  • Borang permohonan nikah
  • Borang saksi permohonan nikah
  • Surat perakuan bujang
  • Laporan ujian HIV dan talasemia
  • Borang nikah luar kawasan
  • Sijil kursus kahwin
  • Sijil nikah ibu bapa pengantin perempuan

Anda juga perlu memastikan jurunikah, wali dan saksi turut hadir pada hari perkahwinan idaman anda. Kalau tak ada tok kadi, tak dapat kahwin pula nanti! Hehe

2. Tempah Kad Jemputan dan Doorgift

Untuk menempah kad jemputan, anda perlu tahu terlebih dahulu berapa jumlah tetamu yang ingin dijemput. Pastikan semua maklumat tentang diri dan pasangan adalah tepat tanpa sebarang kesalahan. Doorgift juga boleh mula ditempah, supaya jumlahnya mencukupi dan tiada masalah kekurangan timbul semasa majlis.

3. Beli Cincin dan Barang Kemas

Luangkan masa bersama pasangan untuk mencari cincin kahwin ya! Jika ingin mengadakan majlis membatalkan air sembahyang, selit sekali pembelian barangan kemas untuk sesi tersebut.

Checklist Persiapan 1 Hari Sebelum Perkahwinan

Dup dap dup dap, majlis perkahwinan idaman kedua pasangan kini sudah tinggal sehari dan lebih kurang 98% sudah siap. Jika diteliti satu persatu checklist persiapan perkahwinan ini, kira tinggal sikit sahaja lagi yang perlu dilakukan. Jom teruskan bacaan perkongsian Sis Min!

1. Persiapan Pakaian Perkahwinan

Sehari sebelum majlis, pastikan busana pengantin sudah digisok dan disediakan. Pastikan untuk menjaga busana tersebut supaya ia nampak WOW pada majlis nanti.

Untuk pengantin perempuan, anda boleh siapkan terus aksesori lain seperti tudung, kerongsang, rantai, bunga dan lain-lain supaya tidak tercari-cari ketika bersiap nanti. Untuk pengantin lelaki pula, pastikan anda menyediakan samping, songkok, tanjak dan lain-lain juga ya!

2. Memakai Inai

Bagi pengantin perempuan, sehari sebelum majlis merupakan masa yang terbaik untuk memakai inai. Sambil-sambil itu, bolehlah berehat dan menenangkan diri gitu…

3. Pastikan Vendor Hadir

Pastikan kanopi, meja, kerusi, pelamin dan yang lain-lain sudah siap disediakan oleh pihak vendor. Pastikan susunan menepati cita rasa pengantin dan mudah untuk sebarang pergerakan berlaku.

Jangan lupa untuk cari terus inner baju one-piece yang sama warna dengan baju majlis resepsi atau baju nikah tau! Baju nikah elok pakai inner putih terus sebab nanti nampak dalam gambar kalau warna tak sama dengan baju yang dipakai. Boleh klik disini inner one piece yang tak ada lengan seperti gambar di bawah:

Dah Siap Checklist Persiapan Perkahwinan, Barulah Boleh Kahwin!

Saat bahagia bakal pasangan pengantin baru akan tiba tidak lama lagi! Dengan adanya checklist persiapan perkahwinan ini, Sis Min berharap ia sedikit sebanyak dapat membantu para pasangan pengantin di luar sana. Semoga dipermudahkan segala urusan untuk menempuh kehidupan yang baru Sis Min ucapkan.

Setakat itu sahaja perkongsian Sis Min tentang “Checklist Persiapan Perkahwinan”. Jumpa di lain postingan dan jangan lupa membaca lebih banyak artikel menarik di Sis Rasa.


Penafian: Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.

Sis Rasa, Sis Cerita.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *