Petua Masak Ketupat Lembut & Tahan Lama
Masakan, Pendidikan

Petua Masak Ketupat Lembut & Tahan Lama

Setiap kali hari raya tiba, pasti ramai yang teruja untuk menikmati juadah raya yang enak. Apabila sebut tentang “hari raya”, makanan utama yang timbul di pemikiran sudah semestinya ketupat! Tapi, alangkah kecewanya apabila ketupat yang disimpan untuk juadah bersama keluarga dan tetamu, mudah basi… Akhirnya, dibuang dan berlakulah pembaziran. Jadi hari ini, Sis Min akan kongsikan petua masak ketupat lembut dan tahan lama!

1. Pilih Beras dan Cuci Sebersihnya | Petua Masak Ketupat Lembut & Tahan Lama

Anda perlulah memilih beras yang elok dan berada dalam keadaan yang baik. Elakkan penggunaan beras lama. Jika ia beras lama, ketupat akan lebih cepat basi setelah dimasak. Untuk dapatkan tekstur yang lembut pula, pastikan beras dicuci dengan bersih dan direndam selama 30 minit. Mencuci beras dengan bersih juga boleh mengelakkan ketupat daripada cepat basi, kerana kurangnya benda asing di dalam beras.

2. Daun Kelapa Segar dan Anyaman Kemas

Selain beras, daun kelapa untuk membuat ketupat juga perlu diberi perhatian. Gunakan daun kelapa muda yang segar dan bersih. Seeloknya, cuci daun kelapa terlebih dahulu! Semakin bersih bahan yang digunakan untuk membuat ketupat, semakin tahan lama ketupat tersebut tau…

Selain itu, petua masak ketupat lembut dan tahan lama ialah dengan memastikan anyaman ketupat tersebut rapat, kemas dan rapi, agar isi ketupat tidak terkeluar, serta kurang terdedah kepada bakteria yang boleh menyebabkan ketupat tersebut lebih cepat basi.

3. Jangan Isi Beras Terlalu Penuh!

Petua Masak Ketupat Lembut & Tahan Lama

Memasukkan beras ke dalam sarung ketupat memang nampak mudah. Namun, jika terlebih isi, ketupat anda akan menjadi keras dan tidak masak. Kalau terkurang pula, ketupat akan jadi lembik dan tidak tahan lama.

Jadi, anda hanya perlu mengisi 2/3 sarung ketupat sahaja!

4. Gunakan Garam, Asam Gelugur dan Limau Kasturi

Ini petua yang dikongsikan oleh orang tua zaman dahulu, untuk memastikan ketupat tahan lama dan tidak berair:

  • Garam – Taburkan sedikit garam ke dalam air rebusan semasa merebus ketupat.
  • Asam gelugur/Limau – Masukkan dua keping asam gelugur atau dua biji limau ke dalam air ketika merebus ketupat

Namun, diingatkan agar tidak meletakkan terlalu banyak sehingga menyebabkan ketupat anda terasa masin atau masam!

5. Rebus, Tos dan Gantung | Petua Masak Ketupat Lembut & Tahan Lama

Petua Masak Ketupat Lembut & Tahan Lama

Merebus ketupat merupakan langkah penting untuk memastikan ketupat anda lembut. Jom cuba petua masak ketupat lembut dan tahan lama ini:

  • Gunakan air yang sudah panas apabila merebus ketupat, agar ia lebih mudah masak dan lembut.
  • Cara moden untuk merebus ketupat dengan cepat dan lembut adalah, dengan menggunakan periuk pressure-cooker.
  • Rebus ketupat selama minimum 4 jam, agar teksturnya lembut. Namun, jangan merebus melebihi 5 jam kerana ia boleh menyebabkan ketupat terlebih masak. Tapi, diingatkan juga bahawa petua ini bergantung kepada jumlah ketupat dan saiz periuk yang anda gunakan.

Apabila selesai merebus ketupat, pastikan anda lakukan tiga perkara ini untuk memastikan ketupat tahan lama!

  1. Siram ketupat dengan air bersih untuk membuang lendir yang melekat pada daun ketupat, sekaligus membersihkan kotoran pada sisa air rebusan.
  2. Tos ketupat sehingga benar-benar kering untuk mengelakkan kelembapan pada ketupat.
  3. Gantung ketupat agar proses pengeluaran air berlebihan dalam sarung ketupat lebih cepat.

6. Simpan di Dalam Peti Beku

Jika terdapat ketupat yang belum dimakan, anda boleh simpan ketupat tersebut di dalam peti beku. Pastikan anda menyimpan di bahagian freezer, agar ia tidak mudah basi. Sebelum memasukkan ke dalam freezer, bungkus dahulu ketupat ke dalam plastik.

Apabila anda ingin memakan ketupat tersebut, hanya perlu kukus semula selama 10-15 minit. Mudah, kan?

InshaaAllah, tidak ada lagi istilah makanan terbuang dan pembaziran semasa hari raya! Dalam keseronokan menyambut hari raya, jangan pula terlalu leka sehingga berlaku perbuatan boros dan pembaziran ya… Semoga petua masak ketupat lembut dan tahan lama yang dikongsikan ini bermanfaat buat anda semua!

Sumber: MySumber.TV

•••

Penafian
Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.

Jangan lupa layari SisRasa.com untuk mendapatkan lebih banyak artikel yang menarik!

Sis Rasa, Sis Cerita

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published.