Keburukan Makan Lewat Malam
Kesihatan

Keburukan Makan Lewat Malam Mendatangkan Pelbagai Risiko!

Tabiat makan lewat malam sudah menjadi satu trend dalam kalangan rakyat Malaysia. Hal ini dikatakan demikian kerana, banyak restoran yang beroperasi sehingga lewat malam. Malahan, makanan pada lewat malam juga lebih banyak disediakan dan menyelerakan. Namun, terdapat keburukan makan lewat malam sekiranya dinormalisasikan dalam kehidupan.

Makan lewat malam ini bukan sahaja diamalkan oleh orang dewasa, tetapi kanak-kanak juga turut dibiasakan makan lewat malam. Tabiat yang tidak baik ini akan mendatangkan pelbagai masalah pada kesihatan. Segala maklumat berkenaan dengan keburukan ini, Sis Min dapatkannya daripada laman Telegram Dr. Samhan dan laman Facebook Public Health Malaysia (PHM).

Keburukan Makan Lewat Malam

#1 Obesiti/Peningkatan Berat Badan

Tabiat makan lewat malam akan menggalakkan penambahan berat badan. Menurut Dr. Azima menerusi laman Facebook mengatakan bahawa, makan lewat malam akan mempengaruhi proses penurunan berat badan. Hal ini dikatakan demikian kerana, makan di waktu tengah malam menyebabkan kalori yang diambil akan disimpan sebagai lemak dalam tubuh.

Keburukan Makan Lewat Malam

#2 Risiko Reflux Acid Perut (Gerd)

Makan lewat malam sebelum tidur akan meningkatkan risiko asid refluks perut. Dr. Azima mengatakan apabila perut sedang mencerna makanan semasa anda berbaring di tempat tidur, ia akan memberikan tekanan metabolisme makanan. Hal ini akan menyebabkan LES (Lower Esophageal Sphincter) longgar. Apabila LES longgar, maka makanan dan asid perut yang tidak tercerna akan bergerak kembali ke esofagus. Sekiranya anda mengalami refluks asid perut, sebaiknya makan 2 atau 3 jam sebelum tidur bagi mengelakkan refluks waktu malam.

Keburukan Makan Lewat Malam

#3 Mudah Lupa/Mempengaruhi Konsentrasi

Keburukan makan lewat malam yang seterusnya ialah meningkatkan risiko masalah kesihatan terhadap otak. Tabiat makan lewat malam akan mengganggu konsentrasi atau bahasa mudahnya, cepat lupa. Hal ini dikatakan demikian kerana, waktu makan mempunyai kesan pada fisiologi otak dan tingkah laku. Corak pemakanan yang tidak menentu akan mempengaruhi sistem circadian (brain clock) yang boleh mempengaruhi keupayaan pembelajaran dan penghafalan pada otak.

#4 Peningkatan Gula dalam Darah | Keburukan Makan Lewat Malam

Makan lewat malam memudaratkan kesihatan metabolisme yang secara tidak langsung akan meningkatkan risiko terhadap ketahanan insulin, diabetes dan jantung.

Selain itu, makan lewat malam akan membuatkan anda berasa sangat lapar apabila bangun daripada tidur. Hal ini dikatakan demikian kerana, insulin yang dikeluarkan oleh pankreas selepas makan akan menyebabkan lebih banyak glukosa untuk terhasil.

#5 Mempengaruhi Kualiti Tidur | Keburukan Makan Lewat Malam

Makan lewat malam terutamanya sebelum waktu tidur, merupakan satu habit yang tidak sihat. Sewaktu tidur, kadar metabolisme adalah rendah dan kurang membakar kalori. Namun, makan lewat malam akan menyebabkan usus perlu bekerja secara berlebihan untuk mencerna makanan.

Selain itu, makan terlalu lewat juga boleh mempengaruhi kualiti tidur. Hal ini dikatakan demikian kerana, pola pemakanan secara langsung mendatangkan kesan negatif kepada pola tidur dan mimpi. Oleh hal yang demikian, amalan makan lewat malam perlu dihindari bagi mendapatkan tidur yang berkualiti. Tambahan pula, makanan tenusu dan pedas yang diambil sewaktu makan malam juga boleh menyebabkan kualiti tidur terganggu.

Ada banyak lagi risiko makan lewat malam yang boleh membahayakan kesihatan tubuh badan. Oleh hal yang demikian, tabiat makan lewat malam ini tidak sepatutnya dibiasakan dalam kehidupan seharian jika anda inginkan kehidupan yang sihat bebas penyakit.

Cukup sampai di sini sahajalah perkongsian pada kali ini. Sis Min harapkan agar artikel kali ini dapat memberikan informasi yang berguna kepada anda.

Penafian
Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.

Jangan lupa layari SisRasa.com untuk mendapatkan lebih banyak artikel menarik!

Sis Rasa, Sis Cerita

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published.