Aksesori Pakaian Tradisional Wanita Melayu
Fesyen

Aksesori Pakaian Tradisional Wanita Melayu

Aksesori dan wanita sememangnya tidak dapat dipisahkan lagi. Setiap wanita sudah pasti mempunyai perhiasan sekurang-kurangnya satu perhiasan dimiliki. Dalam artikel lepas, Sis Min ada kongsikan berkenaan jenis baju Melayu untuk lelaki dan dalam perkongsian tersebut, Sis Min ada sebut mengenai perhiasan baju Melayu untuk lelaki. Namun, Sis Min tak pernah lagi menulis artikel berkaitan perhiasan wanita di dalam mana-mana artikel. Oleh hal yang demikian, Sis Min nak kongsikan mengenai aksesori pakaian tradisional wanita Melayu yang klasik ini.

Sis Min dapatkan maklumat aksesori ini di dalam laman web Byhisdaisy dan akhbar Harian Metro. Kebiasaannya, pada zaman nenek moyang dahulu perhiasan perlu dipakai apabila mengenakan baju tradisional. Jika dilihat pada masa kini, aksesori pakaian tradisional masih dipakai tetapi hanya digunakan oleh pengantin.

Jenis-jenis Aksesori

Emas, perak, tembaga, mutiara, manik, kulit siput, tulang, kayu dan tembikar merupakan bahan untuk membuat aksesori pada zaman dahulu. Aksesori yang diperbuat daripada emas dan perak sangat digemari oleh wanita.

Wanita yang memakai aksesori pakaian akan tampak lebih anggun seolah-olah seperti seorang puteri zaman dahulu kala.

Kerongsang | Aksesori Pakaian Tradisional Wanita Melayu

Bonny Eddy yang merupakan seorang Kurator Muzium Petaling Jaya mengatakan dalam akhbar Harian Metro, bahawa kerongsang atau kancing baju ini biasanya memang dipakai pada baju kebaya labuh atau kebaya pendek. Kerongsang akan dikancingkan pada baju kebaya untuk tujuan mencantumkan baju supaya tidak terdedah.

Kebiasaannya, tiga kerongsang akan dipakai sama ada bentuknya serupa mahupun berlainan. Kerongsang yang berlainan mempunyai dua bentuk yang sama tetapi satu yang berlainan dan dipanggil kerongsang ibu. Kerongsang ibu yang berbentuk hati akan disematkan pada bahagian atas sekali.

Aksesori pakaian tradisional wanita Melayu mempunyai keistimewaan yang dapat menonjolkan keindahan seni reka tukang emas pada zaman dahulu. Hal ini kerana, seni reka itu mempunyai ukiran yang halus dan unggul. Apabila dipakai oleh wanita yang menggayakan busana tradisional, penampilannya akan menjadi lebih berseri.

Dokoh

Aksesori pakaian tradisional wanita Melayu yang seterusnya ialah dokoh. Dokoh dipakai pada bahagian leher dan mempunyai tiga atau lebih plat yang dihasilkan daripada timah, tembaga atau logam. Pada zaman dahulu, dokoh dipakai oleh pengantin, tetapi pada zaman kini penggayaan dokoh kurang digunakan. Namun, masih ada lagi yang menggunakan dokoh jika melangsungkan hari perkahwinan bertemakan tradisional.

Cucuk Sanggul | Aksesori Pakaian Tradisional Wanita Melayu

Cucuk sanggul mempunyai pelbagai rekaan bentuk seperti bentuk lintang, rendah, tinggi, sanggul dua dan sanggul kelongsong. Cucuk sanggul ini bukan sahaja terkenal dalam kalangan wanita Melayu, tetapi digunakan juga oleh wanita daripada Portugis, India, dan Nyonya Peranakan.

Cucuk sanggul digunakan untuk menyemat dan menahan sanggul rambut supaya tidak terburai. Pada awalnya, cucuk sanggul ini digunakan untuk menyanggul rambut, namun telah menjadi satu perhiasan yang cantik. Hal ini kerana, cucuk sanggul akan menambah seri wajah wanita yang memakainya.

Kini, cucuk sanggul bukan sahaja dipakai oleh wanita tidak bertudung, tetapi dipakai juga oleh wanita bertudung. Sanggul akan dicucuk pada luar tudung yang dipakai. Biasanya digunakan pada hari perkahwinan.

Anda boleh tonton video YouTube ini tentang cara-cara memakai cucuk sanggul, khusus bagi wanita bertudung.

Aksesori Pakaian Tradisional Wanita Melayu
Sumber: Akhbar Harian Metro – Cucuk sanggul

Pending | Aksesori Pakaian Tradisional Wanita Melayu

Aksesori pakaian yang seterusnya ialah pending. Pending mempunyai fungsi yang sama seperti tali pinggang. Pending akan dipakai oleh pengantin perempuan pada bahagian pinggang di luar busana tradisional. Pending yang diperbuat daripada emas atau tembaga ini sangat cantik dipadankan dengan set persalinan perkahwinan tradisional.

Kini, pending sudah tidak digunakan lagi kerana bentuknya yang agak besar dan coraknya yang klasik. Namun, jika seseorang itu sangat cinta akan budaya, tradisi, dan warisan, sudah pastinya akan menyukai corak dan ukiran pending ini.

Contoh pending yang digayakan dengan busana tradisional.

Cukup sekadar itu sahaja perkongsian pada hari ini. Sis Min harapkan agar artikel Aksesori Pakaian Tradisional Wanita Melayu ini dapat memberikan informasi yang berguna kepada anda. Sesiapa yang belum membaca artikel jenis baju kurung dan kebaya boleh tekan di link ini dan ini.

Penafian
Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.

Jangan lupa layari SisRasa.com untuk mendapatkan lebih banyak artikel yang menarik!

Sis Rasa, Sis Cerita

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *